11 NOV : Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak merayu keputusan mahkamah berkait Pemberian Khas Negeri Sabah.
Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam satu kenyataan berkata proses rundingan dengan kerajaan negeri akan dimulakan secepat mungkin.
“Jabatan Peguam Negara Persekutuan menghormati prinsip Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
“Oleh itu, Kerajaan Persekutuan memutuskan untuk tidak akan membuat rayuan terhadap Pemberian Khas berdasarkan 40 peratus hasil.
“Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan akan memulakan proses rundingan bersama Kerajaan Negeri Sabah dengan kadar segera,” kata AGC dalam kenyataan, hari ini.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mempengerusikan Mesyuarat Khas Jemaah Menteri bagi membincangkan penghakiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu yang diputuskan dalam Permohonan Semakan Kehakiman difailkan Sabah Law Society terhadap Kerajaan Malaysia.
Dalam pada itu, AGC memaklumkan pihaknya ada membangkitkan soal kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut pada mesyuarat berkenaan.
Justeru itu menurut AGC, Kerajaan Persekutuan akan merayu berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman berkenaan.
“Pada mesyuarat sama, Peguam Negara memberikan nasihat dan pandangan kepada jemaah menteri berhubung kecacatan dalam Alasan Penghakiman tersebut.
“Antaranya dakwaan bahawa Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah telah menyalahgunakan kuasa dan melanggar kewajipan Perlembagaan. Dakwaan ini bakal membabitkan Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sejak tahun 1974.
“Selain itu, Alasan Penghakiman juga menyatakan bahawa Kajian Semula selepas tahun 2021 adalah menyalahi undang-undang, tidak rasional, terdapat ketidakaturan dari segi prosedur dan tidak berkadaran,” kata AGC.