15 NOV : Amerika Syarikat (AS) akan menolak visa pemohon yang menghidapi penyakit jantung, kanser, diabetes dan obesiti.
Setiausaha Negara AS, Marco Rubio mengumumkan perubahan dasar itu kepada kesemua konsulat dan kedutaan AS di seluruh dunia.
Dasar baharu itu meluaskan skop penilaian perubatan yang sebelum ini hanya tertumpu kepada penyakit berjangkit.
“Pegawai mesti mengambil kira tahap kesihatan pemohon,” kata Jabatan Negara, lapor KFF Health News.
Jurucakap Rumah Putih, Anna Kelly berkata peraturan menolak pemohon yang berisiko menjadi beban kewangan kepada pembayar cukai sudah wujud sejak seabad lalu dan pentadbiran Trump kini melaksanakannya sepenuhnya demi mengutamakan rakyat Amerika.
Menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), sekitar 16 peratus populasi dewasa dunia dikategorikan sebagai obes pada 2022 manakala 14 peratus menghidap diabetes.
Dasar tersebut terpakai kepada pemegang visa sementara seperti H-1B dan pemohon imigresen yang ingin tinggal secara tetap atas tujuan pekerjaan atau keluarga.
Bagaimanapun pemohon visa kemanusiaan tertentu termasuk pelarian dikecualikan, meskipun kebanyakan program berkenaan sudah dihentikan atau sedang ditamatkan pentadbiran Trump.