KENYATAAN MEDIA
DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID
Seiring komitmen Kerajaan MADANI untuk memperkukuh kesiapsiagaan negara terhadap ancaman keselamatan digital yang semakin kompleks, saya telah mempengerusikan Mesyuarat Pro Tem Jawatankuasa Keselamatan Dalam Talian, yang ditubuhkan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 [Akta 866], bertempat di Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC), hari ini.
Jawatankuasa ini berperanan sebagai platform penyelaras dan penasihat strategik merentas sektor bagi mengenal pasti risiko serta trend bahaya dalam talian secara menyeluruh; menjalankan kajian teknikal dan analisis pakar; menyelaras konsultasi pelbagai pihak termasuk industri, akademia, pakar teknologi dan organisasi masyarakat sivil; dan mengemukakan syor dasar kepada pembuat dasar dan pengawal selia.
Sebelum akta ini berkuat kuasa sepenuhnya, Jawatankuasa Pro Tem ditugaskan untuk menetapkan hala tuju strategik, keutamaan dasar dan kerangka tadbir urus supaya pelaksanaan Akta berjalan teratur dan berasaskan bukti. Saya juga ingin memaklumkan bahawa setelah akta ini mula berkuat kuasa, Jawatankuasa ini akan dipengerusikan oleh Tan Sri Dato’ Sri Hasnah Mohammed Hashim, mantan Hakim Besar Malaya.
Kerajaan ingin menegaskan bahawa Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) kekal sebagai pengawal selia utama dan tunggal bagi Akta Keselamatan Dalam Talian 2025. Melalui akta ini, mandat MCMC diperkukuh bagi memimpin penyiasatan, penguatkuasaan dan tindakan terhadap platform yang gagal melindungi pengguna; kuasa MCMC tidak terjejas, manakala Jawatankuasa hanya menyediakan analisis strategik, data teknikal dan pandangan pakar untuk menyokong keputusan pengawalseliaan; dan mekanisme semak imbang diperkasa bagi memastikan keputusan pengawalseliaan lebih telus, berasaskan bukti dan tidak menjejaskan kebebasan bersuara.
Antara tumpuan utama mesyuarat hari ini termasuklah ancaman teknologi kecerdasan buatan (Al), khususnya fenomena deepfake; perbincangan mengenai draf Terma Rujukan (ToR) Jawatankuasa; dan libat urus dengan kementerian, agensi serta wakil masyarakat sivil seperti Article 19 dan Center for Independent Journalism (CIJ) bagi memastikan pendekatan inklusif dan seimbang.
Kerajaan MADANI kekal komited mewujudkan ekosistem digital yang selamat, beretika dan seimbang. BHEUU, JPM akan terus memperkukuh kerangka perundangan negara agar seiring perkembangan teknologi global, sambil mengekalkan keseimbangan antara kebebasan bersuara, tanggungjawab undang-undang dan kepentingan awam.
DATUK SERI AZALINA OTHMAN SAID
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI (UNDANG-UNDANG DAN REFORMASI INSTITUSI)