26 OKT : Perikatan Nasional (PN) sah akan menguna logo gabungan itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, bulan depan.
Keputusan itu dibuat selepas Mahkamah Tinggi menangguhkan pelaksanaan tindakan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) berkaitan pendaftaran gabungan berkenaan.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata ketetapan itu dipersetujui dalam mesyuarat tergempar Majlis Tertinggi PN di Pejabat Agung PAS, malam tadi.
Menurutnya, keputusan berkenaan dibuat berdasarkan kedudukan semasa PN yang membolehkannya kembali beroperasi seperti biasa susulan perintah mahkamah itu.
“Oleh kerana PN ‘is back’, kita memutuskan untuk menggunakan logo PN pada PRN Melaka,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat berkenaan.
Pada 22 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menggantung notis pembatalan pendaftaran Perikatan Nasional (PN) yang dikeluarkan RoS pada 20 Oktober lalu.
Sebelum ini, BN mengumumkan PAS sebagai rakan strategik Barisan Nasional (BN) di PRN Melaka dan akan bertanding tujuh kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
Mengulas soal pembahagian kerusi antara parti komponen PN, beliau berkata proses itu masih berjalan dan belum dimuktamadkan.
Namun, PN akan mengumumkan calon mereka pada 29 Oktober ini
“Calon dan kerusi akan ditentukan kerana kita akan mengadakan beberapa siri mesyuarat untuk memuktamadkan kerusi yang akan ditandingi serta calon yang akan diletakkan.
“Apa yang pasti, pengisytiharan calon akan dibuat pada 29 Oktober di Melaka dan semuanya akan diselesaikan sebelum tarikh itu,” katanya.
Pengumuman calon PN bagi PRN Melaka dijadualkan berlangsung pada 29 Oktober ini.
Selain itu, Takiyuddin berkata PN juga tidak menghalang jika rakan komponennya, Bersatu mahu menggunakan logo sendiri pada PRN Melaka.
Beliau menjelaskan, Fasal 16 Perlembagaan PN membenarkan parti komponen menggunakan lambang dan bendera masing-masing sekiranya mendapat kebenaran melalui mesyuarat gabungan itu.
“Kalau difikirkan perlu, di bawah lambang dan bendera ini jelas dengan kebenaran. Minta kebenaran dalam mesyuarat PN,” katanya .
BN mengumumkan senarai calon bagi 21 kerusi yang akan ditandingi pada PRN Melaka yang dijadual 14 November depan.

*Foto: Facebook Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar