27 NOV : Malaysia berdepan risiko kehilangan akses pasaran ke Amerika Syarikat (AS) bernilai hampir RM200 bilion jika Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) Malaysia-AS tidak dimeterai.
Ini sekali gus bakal menjejaskan lebih 1 juta pekerjaan dan 7,700 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di negara ini.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata tanpa ART, rantaian bekalan berisiko runtuh dan pelaburan berkemungkinan beralih ke negara lain.
“Oleh itu, dengan ART ini, pandangan kita, pandangan Kerajaan Malaysia dapat mengekalkan daya saing kita terutamanya daya saing global, melindungi eksport bernilai tinggi terutama dalam sektor elektrik dan elektronik dan semikonduktor serta memberi keyakinan kepada pelabur,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas sesi taklimat kepada Mesyuarat Kaukus Khas Parlimen mengenai ART, hari ini, lapor Bernama.
Beliau memaklumkan bahawa eksport Malaysia ke AS pada 2024 hampir RM200 bilion dan dijangka melebihi RM200 bilion pada 2025.
Menurutnya, ART berfungsi sebagai mekanisme perlindungan ekonomi yang dirangka selepas pertimbangan mendalam.
Malaysia sebagai pengeksport bersih, katanya mendapat manfaat besar apabila akses pasaran ke AS lebih terjamin.
Tengku Zafrul turut menolak dakwaan bahawa ART akan mengikat dasar negara, kerana perjanjian itu tidak memaksa Malaysia meliberalisasi tarif, membuka pasaran secara tidak seimbang atau menyentuh isu sensitif seperti makanan, data, pertahanan dan keselamatan dalaman.
Mengulas dakwaan ART menjejaskan hubungan Malaysia-China, beliau berkata ia tidak berasas kerana ART hanyalah perjanjian perdagangan dan bukan pakatan geopolitik.
“Oleh itu, kita terus kukuhkan akses kita kepada pasaran lain seperti Kawasan Perdagangan Bebas ASEAN-China (ACFTA3.0), Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) dan Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan platform ASEAN-China,” katanya.