2 DIS : Terdapat keperluan untuk kerajaan meneliti kembali undang-undang negara berkait aktiviti tidak bermoral susulan serbuan terhadap sebuah spa kesihatan, baru-baru ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata ia berikutan peruntukan sedia ada tidak mencukupi untuk pihak berkuasa bertindak terhadap aktiviti tidak bermoral.
Menurutnya, serbuan itu dibuat hasil intipan berbulan-bulan namun permohonan reman ditolak atas kelemahan peruntukan undang-undang.
“…intipan itu mengambil masa berbulan-bulan dijalankan secara bersama dengan agensi yang lain dan jumlah tangkapan juga besar serta berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang sedia ada, sama ada di bawah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) atau pun di bawah Kanun Keseksaan.
“Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus bersedia untuk mengangkat cadangan…ada keperluan untuk kita melihat semula undang-undang yang sedia ada.
“Sebab operasi skala besar sebegitu…kemudian kita nak kenal pasti seksyen mana dan akta mana bagi menentukan hala tuju siasatan, kalau berdasarkan peruntukan sedia ada, ianya tidak memadai untuk kita mengambil tindakan ke atas kes yang sebegitu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Simposium Suruhanjaya Bebas Tatakelaluan Polis (IPCC) 2025, hari ini.
Jumaat lalu, 208 individu berusia dalam lingkungan 19 hingga 60 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit.
Turut ditahan dalam Ops Songsang itu adalah Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), guru, doktor dan timbalan Pendakwa Raya serta pegawai agensi penguatkuasaan.
Ia mencetuskan perdebatan susulan permohonan reman terhadap mereka ditolak kerana kekurangan bukti untuk meneruskan pendakwaan iaitu tiada sesiapa mengaku sebagai mangsa.
Namun kata Saifuddin, meski mahkamah tidak membenarkan reman, siasatan terhadap kes berkenaan tidak berhenti di situ.
“Mereka dilepaskan dengan jaminan polis dan bila ada keperluan untuk kita panggil bagi melengkapkan kertas siasatan, kita akan berbuat demikian sebab kita ada profil mereka semua, melibatkan penjawat awam, warga asing dan sebagainya,” katanya.
Ketika ditanya tentang bantahan badan bukan kerajaan (NGO) yang kononnya menekankan soal privasi, Saifuddin menegaskan aktiviti tidak bermoral melibatkan 202 individu itu tidak boleh dipertahankan.
“Privasi itu kalau dia bersendirian di rumah, itu privasi. Ini dia di premis dengan 202 (orang). Privasi apa lagi? Kalau ada NGO yang melihat dari satu sudut pandang, mereka juga harus melihat bahawa itu adalah perbuatan tidak bermoral yang tak boleh dipertahankan dari sudut mana-mana agama sekalipun.
“Jadi pihak polis akan terus menggunapakai dan menjalankan tugas dan kewajipan mengikut undang-undang sedia ada,” katanya.
