3 DIS : Penjawat awam yang disabitkan dalam aktiviti tidak bermoral atau songsang berdepan tindakan hukuman buang kerja atau turun pangkat.
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata siasatan dalaman boleh diteruskan melalui Unit Integriti setiap kementerian atau agensi.
“Semua penjawat awam tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993], khususnya perenggan 4(2)(d) yang menetapkan bahawa seseorang pegawai tidak boleh berkelakuan dengan sedemikian cara sehingga memburukkan atau mencemarkan nama perkhidmatan awam.
“Kerajaan mempunyai garis panduan bagi menangani permasalahan berkaitan tatakelakuan dalam kalangan pegawai awam seperti Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] dan melalui peruntukan itu, pegawai boleh dikenakan hukuman buang kerja atau turun pangkat sekiranya sabit kesalahan,” katanya, lapor BH.
Beliau berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memandang serius salah laku penjawat awam termasuk dalam kegiatan tidak bermoral atau hubungan songsang.
“JPA berpegang teguh kepada prinsip kedaulatan undang-undang. Sebarang tindakan yang diambil oleh pihak berkuasa seperti polis atau pihak berkuasa agama akan diserahkan sepenuhnya untuk dijalankan siasatan terperinci.
“Sebarang tingkah laku yang terbukti mencemarkan nama baik perkhidmatan awam adalah suatu pelanggaran integriti dan tatakelakuan yang serius,” katanya.
Jumaat lalu, 208 individu berusia dalam lingkungan 19 hingga 60 tahun ditahan dalam serbuan di sebuah pusat spa dan kesihatan di Chow Kit.
Daripada jumlah itu, 17 daripadanya adalah penjawat awam termasuk Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD), guru, doktor, timbalan Pendakwa Raya dan pegawai agensi penguatkuasaan.