PM kecam kuasa besar jadikan ekonomi senjata geopolitik
10 JUN : Malaysia mengkritik tindakan kuasa besar yang sering menggunakan ekonomi sebagai senjata geopolitik hingga menjejaskan kestabilan sistem perdagangan global
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata negara-negara membangun lebih terdedah kepada kesan krisis antarabangsa.
“Sekatan eksport dan dasar perindustrian kini semakin dipengaruhi persaingan geopolitik. Paling membimbangkan ialah kecenderungan yang semakin meningkat untuk menjadikan saling kebergantungan ekonomi sebagai senjata.
“Rantaian bekalan, teknologi, mineral kritikal, kewangan dan akses pasaran semakin dilihat melalui lensa persaingan, bukannya manfaat bersama.
“Bagi kuasa besar, perkara ini boleh dimanfaatkan sebagai instrumen kenegaraan. Namun bagi banyak negara lain, ia menjadi sumber kerentanan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Antarabangsa Nikkei ke-31: Masa Depan Asia bertemakan Mendepani Ketidaktentuan Strategik, hari ini.
Anwar berkata, perkembangan semasa termasuk konflik yang berlarutan di Gaza, ketegangan di Asia Barat, perang di Ukraine serta persaingan antara kuasa besar di Asia memberi implikasi terhadap keamanan dan kestabilan dunia.
“Kita masih menjadi tebusan kepada dinamika kuasa sifar jumlah yang menyaksikan pihak yang kuat terus berkepentingan untuk menekan yang lemah. Ini adalah formula kegagalan.
“Tragedi berterusan di Gaza, ketegangan di Asia Barat dan kesan global yang semakin meruncing, serta perang berpanjangan di Ukraine mengingatkan kita tentang rapuhnya keamanan dan keterbatasan konsensus antarabangsa,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata pertikaian yang berterusan di Laut China Selatan juga menjejaskan kestabilan maritim di rantau ini, selain isu program nuklear serta keupayaan peperangan konvensional dan siber Korea Utara yang kekal menjadi ancaman keselamatan serantau.
Sehubungan itu, Anwar menegaskan dunia memerlukan kepimpinan yang berani mempertahankan kebenaran dan menentang ketidakadilan, bukannya membiarkan politik berasaskan kuasa terus menentukan corak hubungan antarabangsa.
