9 JUN : Penjimatan yang dilaksanakan kerajaan melalui reformasi subsidi sejak dua tahun setengah lalu berjaya menjana penjimatan melebihi RM16 bilion setahun.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata ia dapat memperkukuh kedudukan fiskal negara yang membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada golongan rentan.
Menurutnya, kerajaan juga dapat menambah keyakinan pelabur dengan penyasaran subsidi diesel dan penstrukturan tarif elektrik.
“Penjimatan lebih RM16 bilion setahun yang diperoleh bukan sahaja membantu memperbaiki kedudukan fiskal negara, malah membolehkan lebih banyak bantuan disalurkan kepada kumpulan rentan dalam masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi bual bicara sempena persidangan Invest Malaysia 2026, hari ini.
Dalam pada itu, Amir Hamzah kejayaan reformasi itu menjadi bukti keupayaan kerajaan membuat keputusan sukar yang tidak mudah secara berhemah dan terancang tanpa menjejaskan kesejahteraan majoriti rakyat.
Mengulas soal subsidi, beliau memaklumkan kerajaan terpaksa menanggung perbelanjaan subsidi bahan api kepada RM5 bilion pada Mac dan mencecah RM7.5 bilion pada April berbanding hanya sekitar RM700 juta pada Januari dan Februari.
“Bagaimanapun, dengan harga minyak yang semakin sederhana, jumlah subsidi kini dianggarkan sekitar RM3.5 bilion hingga RM4 bilion,” katanya.