KENYATAAN MEDIA
DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
MENTERI DALAM NEGERI
Susulan daripada keputusan Jemaah Menteri hari ini, Yang Berhormat Ahli Parlimen Kota Bharu akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen bagi tujuan penelitian selanjutnya selaras dengan Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat. Usul ini dibuat susulan daripada kenyataan berunsur fitnah yang dibuat oleh Yang Berhormat Ahli Parlimen Kota Bharu mengenai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia pada 22 Oktober 2025.
Sejajar dengan keputusan tersebut, usul yang telah dibentangkan di Dewan Rakyat akan disesuaikan bagi membolehkan perkara ini dirujuk secara rasmi kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan untuk dipertimbangkan mengikut aturan yang ditetapkan.
Keputusan ini juga diambil setelah mengambil kira pandangan yang dibangkitkan semasa perbahasan di dalam Dewan Rakyat pada 4 Disember 2025.
Kerajaan MADANI percaya bahawa Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan menjalankan penelitian ini dengan penuh tanggungjawab, kebebasan dan integriti, selaras dengan peranan yang telah diamanahkan kepadanya oleh Dewan. Kerajaan turut menegaskan bahawa Parlimen ialah sebuah institusi yang mulia dan berwibawa, justeru tidak wajar dijadikan medan untuk mana-mana Ahli Dewan bertindak sewenang-wenangnya menyebarkan fitnah dan tohmahan yang boleh menjejaskan kewibawaan institusi perundangan negara.
Kerajaan MADANI kekal komited untuk memelihara martabat Parlimen sebagai institusi tertinggi negara, serta memastikan setiap isu yang timbul ditangani secara berhemah dan berlandaskan amalan demokrasi berparlimen.
DATUK SERI SAIFUDDIN NASUTION ISMAIL
MENTERI DALAM NEGERI