6 DIS: Insiden seorang murid berusia 10 tahun yang meminta gambar tidak senonoh daripada gurunya menjadi antara contoh paling membimbangkan yang memerlukan kerajaan mempercepat pelaksanaan had umur 16 tahun bagi penggunaan media sosial.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata ia keperluan mendesak demi melindungi kanak-kanak dan remaja daripada risiko eksploitasi serta pendedahan kepada kandungan tidak sesuai dalam talian.
“Saya dimaklumkan sendiri oleh seorang guru dari Kuala Lumpur. Kita berharap isu seperti ini dapat diatasi dengan sekatan terhadap platform media sosial dan sistem pemesejan seperti WhatsApp.
“Kita bukan nak halang semua aplikasi, tetapi pada waktu ini kita lihat adalah media sosial.
“Saya percaya pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) sedia maklum perkara-perkara seperti itu (insiden murid minta gambar guru),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutupan Karnival Mega Kempen Internet Selamat 2025, hari ini.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said bagi memastikan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian (OnSA) 2024 dapat menjamin penggunaan Internet yang lebih selamat.
Menurutnya, OnSA memperuntukkan denda sehingga RM10 juta namun mekanisme pelaksanaan dan penguatkuasaan sekatan umur masih diteliti dengan mengambil kira pendekatan negara lain termasuk Australia.
“Kita akan berbincang dengan platform media sosial dalam merangka kerangka yang sesuai dengan Malaysia, contohnya proses pengesahan identiti seperti penggunaan dokumen rasmi kerajaan seperti MyKad, atau MyPR dan pasport bagi bukan warganegara.
“Kita juga menghubungi Suruhanjaya Tinggi Australia untuk mendapatkan maklumat terkini mengenai pelaksanaan dasar itu (had umur), yang akan bermula 10 Disember ini di negara itu, tapi pihak platform-platform media sosial telah mula sama ada menyekat ataupun melupuskan akaun-akaun yang tidak menepati syarat itu,” katanya.
