Projek Terminal Ketiga Pelabuhan Klang tidak wajar ditangguh
12 DIS : Projek Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey adalah projek strategik negara yang tidak wajar lagi ditangguhkan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata projek itu memainkan peranan yang kritikal dalam memperkukuh kapasiti ekonomi serta kedudukan Malaysia dalam sektor pelabuhan dan logistik.
“Pagi tadi saya mempengerusikan mesyuarat mengenai pembangunan Terminal Ketiga Pelabuhan Klang di Pulau Carey, satu projek strategik yang penting untuk memperkukuh keupayaan ekonomi dan kedudukan negara dalam sektor pelabuhan dan logistik.
“Projek ini telah lama dirancang dan tidak wajar lagi ditangguhkan. Alhamdulillah, Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mencapai kesepakatan untuk menggerakkan pembangunannya sesegera mungkin supaya manfaat pembangunan ini dapat dinikmati rakyat dan membuka peluang ekonomi baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata semua agensi terlibat turut diarah untuk bergerak pantas dan memastikan projek itu menjadi model baharu pelaksanaan pembangunan negara yang lebih cekap, tersusun serta berintegriti.
Beliau menambah, aspek sosial dan alam sekitar tetap akan diberi keutamaan, termasuk kepentingan komuniti Orang Asli serta kelestarian ekosistem.
“Dalam melaksanakan pembangunan ini, kepentingan Orang Asli, penduduk setempat, nelayan serta kelestarian ekosistem akan terus dipelihara.
“Pembangunan negara mesti berjalan seiring dengan keadilan sosial dan tanggungjawab terhadap alam, kerana di situlah terletaknya makna kemajuan yang sebenar dan berkekalan,” katanya.
*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA