Kabinet baharu tumpu pemulihan ekonomi, tadbir urus
16 DIS : Rombakan Kabinet yang diumumkan hari ini mencerminkan keutamaan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan jemaah menteri berfungsi lebih efisien dan responsif.
Penganalisis politik Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata perubahan itu selari dengan agenda Kerajaan MADANI khususnya dalam konteks pemulihan ekonomi, pengurusan kos sara hidup serta pelaksanaan reformasi institusi secara berperingkat.
Menurutnya, rombakan Kabinet ini juga dilihat lebih menjurus kepada pengukuhan pentadbiran dan pengurusan dasar dan bukannya perubahan ideologi atau hala tuju besar kerajaan.
“Rombakan ini juga memberi isyarat bahawa Perdana Menteri mahu mengurangkan kelemahan pelaksanaan dengan menempatkan individu yang dianggap lebih berpengalaman, berdisiplin dan mampu menyelaras dasar merentas kementerian.
“Perubahan portfolio dan kemasukan menteri baharu berpotensi meningkatkan kejelasan fungsi kementerian dan kelancaran proses membuat keputusan terutamanya jika pelantikan dibuat berdasarkan kesesuaian kepakaran dan rekod prestasi,” katanya kepada BBCPORTAL.
Rombakan Kabinet yang diumumkan Anwar hari ini melibatkan 28 pertukaran menteri dan timbalan menteri serta lantikan baharu dengan upacara angkat sumpah dijadual berlangsung esok di Istana Negara.
Tiga nama turut digugurkan dari senarai Kabinet asal iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa dan Menteri di JPM Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar serta Timbalan Menteri Perpaduan, K Saraswathy.
Dalam pada itu, Awang Azman berkata kesan rombakan Kabinet bergantung kepada dua faktor utama iaitu kelajuan adaptasi menteri kepada portfolio baharu dan kesinambungan dasar sedia ada tanpa terlalu banyak gangguan struktur.
Katanya, jika rombakan itu berjaya mengurangkan pertindihan fungsi dan memperkukuh kepimpinan birokrasi, ia boleh memperbaiki penyampaian perkhidmatan kepada rakyat manakala jika sebaliknya, ia berisiko hanya bersifat kosmetik tanpa impak nyata.
Mengulas mengenai perspektif politik, Awang Azman berpendapat rombakan Kabinet ini dilihat sebagai langkah menstabilkan Kerajaan Perpaduan yang penting untuk memastikan kelangsungan pentadbiran berfungsi dengan baik.
Menurutnya, langkah itu juga mengekalkan imbangan kuasa antara rakan gabungan sambil memperkukuh kepimpinan teras kerajaan sekaligus meredakan tekanan dalaman yang wujud dalam gabungan.
“Selain itu, rombakan ini juga menunjukkan bahawa kerajaan masih mampu menyesuaikan diri dengan realiti politik semasa.
“Namun, peningkatan keyakinan rakyat tidak bergantung kepada rombakan semata-mata, tetapi kepada hasil konkrit dalam tempoh 6 hingga 12 bulan akan datang khususnya dalam isu kos sara hidup, peluang pekerjaan dan kecekapan pentadbiran yang rakyat perlu rasakan sendiri berbanding angka-angka besar yang cuma dilihat dalam pengumuman kerajaan.
“Jika hasil ini gagal dicapai, rombakan Kabinet boleh dilihat sebagai langkah defensif, bukan pembaharuan sebenar,” katanya.

*FOTO : PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA
*OLEH : AISYAH BADRUL