Peruntukan Deeming perkukuh keselamatan kanak-kanak dalam talian : OCC
17 DIS : Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak (OCC) menyambut baik langkah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengklasifikasikan penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial berskala besar sebagai pemegang lesen, yang disifatkan sebagai langkah penting dalam melindungi keselamatan kanak-kanak dan keluarga di alam digital.
Menurut OCC, penguatkuasaan Peruntukan Deeming di bawah Seksyen 46A Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, yang akan berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026, menunjukkan komitmen serius kerajaan untuk memastikan platform digital bertanggungjawab terhadap kandungan dan perkhidmatan yang ditawarkan kepada pengguna, khususnya kanak-kanak.
Katanya, perlindungan kanak-kanak dalam talian bukan satu pilihan, sebaliknya merupakan tanggungjawab undang-undang dan moral yang perlu dipikul bersama oleh kerajaan, penyedia platform dan masyarakat.
“OCC memuji langkah ini sebagai satu perkembangan penting dalam usaha memperkukuh keselamatan kanak-kanak dalam talian serta meningkatkan akauntabiliti platform digital yang beroperasi di Malaysia,” menurut OCC.
Pada 15 Disember lalu, MCMC memaklumkan semua penyedia perkhidmatan pesanan Internet dan media sosial yang mempunyai 8 juta pengguna ke atas di Malaysia akan dikategorikan sebagai pemegang Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP-C) bermula 1 Januari 2026.
Langkah tersebut bertujuan memastikan platform digital berskala besar beroperasi secara lebih teratur, bertanggungjawab dan mematuhi peraturan negara, selaras dengan keperluan melindungi pengguna termasuk kanak-kanak dan keluarga.
Dalam pada itu, OCC menjelaskan bahawa langkah berkenaan turut selari dengan Konvensyen Mengenai Hak Kanak-Kanak (CRC) dan Akta Kanak-Kanak 2001, yang mewajibkan perlindungan kanak-kanak daripada sebarang bentuk kemudaratan, penderaan dan eksploitasi, termasuk dalam persekitaran dalam talian.
Katanya, dalam dunia digital masa kini, kanak-kanak semakin banyak belajar, berkomunikasi dan bersosial secara dalam talian justeru keselamatan mereka perlu diberi keutamaan oleh semua pihak.
“Akta Kanak-Kanak 2001 menetapkan tanggungjawab bersama untuk melindungi kanak-kanak daripada kemudaratan fizikal, emosi dan psikologi, pengabaian, penderaan serta eksploitasi.
“Oleh itu, platform digital yang memudahcara interaksi dalam talian berskala besar perlu memastikan perkhidmatan mereka tidak mendedahkan kanak-kanak kepada risiko atau menjejaskan kesejahteraan mereka,” menurut kenyataan itu.
OCC turut menyatakan sokongan terhadap usaha MCMC mewujudkan sistem kawal selia yang jelas dan boleh dikuatkuasakan, sambil menegaskan bahawa keselamatan, maruah, privasi dan perkembangan kanak-kanak adalah tanggungjawab bersama.
Pada masa sama, OCC menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan MCMC, agensi kerajaan serta penyedia perkhidmatan digital bagi membina ekosistem dalam talian yang lebih selamat, bertanggungjawab dan mesra kanak-kanak di negara ini.
*OLEH : AISYAH BADRUL