18 DIS : Kerajaan terus memantau situasi banjir di seluruh negara dan menyalurkan bantuan dengan segera kepada mangsa yang terjejas.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menzahirkan rasa dukacita terhadap musibah itu menasihatkan rakyat agar sentiasa waspada.
“Saya amat terkesan dengan musibah banjir yang melanda beberapa negeri ketika ini serta nasib mangsa-mangsa yang terjejas.
“Rakyat dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, mematuhi arahan pihak berkuasa dan segera berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) apabila diarahkan demi keselamatan diri dan keluarga,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran di Facebook, malam ini.
Menurut Anwar, Kerajaan MADANI melalui Agensi Pengurusan Benacan Negara (NADMA) menyelaras tindakan segera bersama agensi berkaitan.
Ini termasuk hebahan awal SMS kecemasan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), penyaluran bantuan kebajikan dan keperluan asas Jabatan Kebajikan Malaysia (JKM) serta pengoperasian pam kecemasan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mengawal paras air dan mengurangkan risiko banjir.
Menurutya, situasi banjir akan terus dipantau rapi serta bantuan disalurkan sebaik dan secepat mungkin.
“Penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas barisan hadapan serta sukarelawan yang sedang bertungkus-lumus di lapangan demi membantu mangsa-mangsa yang terjejas.
“Mohon mendoakan agar musibah ini segera reda dan mangsa banjir dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa,” katanya.
Data terkini portal JKM menunjukkan 14,573 mangsa banjir dipindahkan di seluruh negara melibatkan lima negeri dengan Pahang paling teruk terjejas.
Enam daerah di Pahang terjejas melibatkan 13,302 mangsa terjejas dan Kuantan paling teruk dilanda banjir yang menyebabkan 10,956 mangsa daripada 3,651 keluarga terpaksa dipindahkan di 46 Pusat Penempatan Sementara (PPS).

Foto : Jabatan Penerangan Pahang
*Foto utama: Jabatan Bomba & Penyelamat Pahang