Muhyiddin letak jawatan Pengerusi PN
30 DIS : Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Pengerusi Perikatan Nasional (PN) berkuat kuasa 1 Januari 2026.
Presiden Bersatu itu memaklumkan keputusannya itu dalam satu kenyataan di Facebook rasminya, pagi ini.
Dalam kenyataan sama, Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri menzahirkan ucapan terima kasih atas sokongan yang diberi kepadanya sepanjang memimpin gabungan itu.
“Saya telah membuat keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Perikatan Nasional berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua kepimpinan PN yang telah memberikan sepenuh sokongan kepada saya selama saya memimpin PN sejak penubuhannya lima tahun lalu,” katanya dalam kenyataan itu.
Selain itu, Muhyiddin turut mengucapkan selamat maju jaya kepada semua barisan kepimpinan dan parti-parti dalam gabungan tersebut.
Keputusan itu dipercayai berkait dengan kemelut yang semakin meruncing di Perlis hingga membawa kepada pertukaran menteri besar.
Lima Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu dan tiga ADUN PAS bertindak menandatangani akuan bersumpah yang menyatakan tidak menyokong menteri besar PAS ketika itu, Mohd Shukri Ramli.
Susulan ketidakharmonian itu wujud beberapa desakan agar jawatan Presiden tersebut diberi kepada PAS.
Susulan keputusan Muhyiddin itu, Datuk Seri Azmin Ali turut meletakkan jawatannya sebagai Setiausaha Agung PN dan Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor.
“Saya mengambil perhatian bahawa pelantikan saya sebagai setiausaha agung adalah atas bidang kuasa Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
“Maka saya juga meletakkan jawatan sebagai Setiausaha Agung PN bermula 1 Januari 2026 dan saya juga mengambil pendirian meletakkan jawatan selaku Pengerusi Badan Perhubungan PN Selangor berkuat kuasa tarikh sama,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.