19 MEI : Keputusan Barisan Nasional (BN) untuk bertanding solo pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bukan satu bentuk pengkhianatan terhadap kerjasama politik yang dijalin dengan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Pusat selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata BN berpendirian persefahaman dan asas pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca PRU15 adalah atas tanggungjawab kenegaraan untuk mengelak Malaysia terjerumus dalam polemik politik yang berpanjangan.
Tegasnya, persefahaman itu akan disepakati sehingga mandat berakhir.
“Justeru tidak timbul persoalan Barisan Nasional mengkhianati Kerajaan Perpaduan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurut Zambry yang juga Menteri Pengajian Tinggi, BN akan terus memainkan peranan memelihara kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
Menyentuh soal keputusan BN Johor, beliau berkata BN Malaysia menghormati pendirian yang disuarakan gabungan negeri itu berhubung hala tuju serta persiapan menghadapi PRN akan datang selaras pandangan semua pihak dalam parti komponen BN Johor.
Sabtu lalu, Pengerusi BN Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mengumumkan gabungan itu akan bertanding di kesemua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN akan datang.
DUN Johor dijangka terbubar secara automatik pada 21 April 2027 dan Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tempoh sehingga 60 hari untuk mengadakan pilihan raya selepas pembubaran itu.
Pada PRN Johor yang berlangsung Mac 2022, BN menang dengan 40 kerusi dan membentu kerajaan negeri sementara PH menang 12 kerusi dan Perikatan Nasional (PN) menang 3 kerusi serta parti Muda 1 kerusi.