30 DIS : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan berhubung penularan satu hantaran palsu di platform media sosial.
Ia berkait hantaran kandungan yang menggunakan logo dan identiti visual Buletin TV3 bagi menyebarkan maklumat tidak benar yang mendakwa Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil mengeluarkan kenyataan mengenai penutupan TikTok Malaysia.
“Siasatan awal MCMC mendapati kandungan berkenaan telah diubah suai dan disahkan sebagai palsu serta kenyataan tersebut tidak pernah dikeluarkan oleh Menteri Komunikasi.
“Pihak Media Prima Berhad juga telah membuat laporan polis dan penafian bahawa hantaran berkenaan diterbitkan oleh Buletin TV3 atau mana-mana platform berita di bawah rangkaian Media Prima.
“Penafian tersebut turut menjelaskan bahawa penggunaan logo, nama dan identiti visual Buletin TV3 dalam hantaran palsu berkenaan merupakan satu bentuk penyalahgunaan yang sengaja mengelirukan orang ramai,” menurut MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, MCMC berkata satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588].
Selain itu, MCMC turut memanggil individu yang disyaki terlibat bagi membantu siasatan dan keterangannya dirakam di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian, Perak.
“Sebanyak satu unit telefon bimbit dan satu kad SIM disita bagi tujuan analisis forensik digital.
“Seksyen 233 Akta 588 memperuntukkan hukuman denda maksimum sehingga RM500,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan,” katanya.
Dalam pada itu, MCMC meningatkan orang ramai agar sentiasa menyemak kesahihan maklumat sebelum memuat naik, berkongsi atau mengulas di media sosial.
Tegas MCMC, penyebaran kandungan palsu dan penyalahgunaan identiti bukan sahaja boleh mengelirukan masyarakat, malah boleh membawa kepada tindakan undang-undang.