22 MEI : Malaysia mempunyai kekuatan strategik untuk muncul sebagai antara peneraju Kecerdasan Buatan (AI) di rantau ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia didorong oleh ekosistem semikonduktor yang kukuh, sumber tenaga boleh baharu yang besar, kedudukan strategik di tengah ASEAN serta bakat muda yang dinamik dan berdaya saing.
“Dunia kini sedang bergerak pantas ke arah era AI. Persoalannya bukan lagi sama ada AI akan mengubah masa depan, tetapi bagaimana kita memastikan perubahan ini benar-benar membawa manfaat kepada rakyat dan kemanusiaan.
“AI bukan sekadar tentang teknologi atau inovasi digital. Ia tentang bagaimana kita membina masa depan yang lebih inklusif, mampan dan bermakna untuk masyarakat serta negara.
“Kita bukan sekadar mahu menjadi pengguna teknologi, tetapi turut membantu membentuk masa depan teknologi itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak AI bersama Microsoft hari ini.
Menurutnya, melalui aspirasi AI Nation 2030, Kerajaan MADANI komited memastikan pembangunan AI negara dilaksanakan secara bertanggungjawab, inklusif dan mampan agar manfaatnya dapat dirasai oleh semua lapisan masyarakat.
Mengulas lanjut, Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata AI perlu dimanfaatkan untuk memperkukuh sektor penting negara seperti tenaga, air, pertanian, kesihatan, pendidikan dan pembuatan demi kesejahteraan rakyat serta ketahanan masa depan negara.
Namun tegasnya, ketika sibuk mengejar pembangunan digital itu, kita tidak boleh mengabaikan kelestarian alam sekitar.
“Infrastruktur AI dan pusat data masa depan perlu dibangunkan secara hijau, cekap tenaga dan disokong oleh penggunaan tenaga bersih yang bertanggungjawab.
“Insya-Allah, jika dipandu dengan integriti, hikmah dan nilai kemanusiaan, Malaysia bukan sahaja mampu merealisasikan aspirasi AI Nation 2030, malah membina sebuah ekonomi digital yang dipercayai, inklusif, mampan dan menjadi kebanggaan negara,” katanya.
