22 MEI : Kerajaan MADANI menjamin kira-kira 85 peratus rakyat di negara ini tidak akan terkesan dengan pelarasan tarif elektrik susulan peningkatan kos tenaga global.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata ia tidak akan menjejaskan pengguna domestik yang mengunakan elektrik sehingga 600 kilowatt-jam (kWj) sebulan.
Namun katanya yang juga, Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air pelarasan kecil mungkin dibuat melibatkan pengguna yang melebihi kadar itu.
“Kos elektrik kita telah memberikan jaminan bahawa untuk 85 peratus rakyat tidak akan terkesan sebab itu memang dijamin oleh kerajaan. Jadi itu akan tetap kita kekalkan.
“Mungkin adalah kenaikan, mungkin ada beberapa industri lain, sektor lain…mungkin ada terkesan sikit tapi kita sedang menilai, melihat keseluruhannya, insya-Allah.
“Yang guna (tenaga) 600 kilowatt ke bawah tak terkesan. Siapa guna lebih 600 kilowatt, itu akan ada adjustment sikit. Tapi insya-Allah tak berapa beratlah kalau ada pun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas majlis perhimpunan bulanan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), hari ini.
Namun beliau menjelaskan peningkatan yang dijangka berlaku itu tidak melibatkan secara menyeluruh.
Ketika berucap, Fadillah berkata Malaysia tidak terlepas daripada menerima tempias konflik di Asia Barat yang menyebabkan ketidaktentuan rantaian bekalan global dan krisis bekalan.
Fadillah berkata kerajaan sedang berusaha untuk memastikan keterjaminan bekalan tenaga negara terus terpelihara sehingga Disember di mana setakat ini, bekalan tenaga negara dijangka mencukupi hingga Julai depan.
“Kalau setakat ini, Insya-Allah keterjaminan bekalan tenaga kita hingga bulan Julai. Petronas sedang bertungkus lumus untuk mendapatkan semua bekalan, walaupun terpaksa pergi ke Afrika sekali pun.
“Kalau semuanya (bekalan) dapat dikumpulkan, Insya-Allah kita akan dapat keterjaminan bekalan tenaga hingga Disember,” katanya.
Fadillah berkata pelbagai pihak sedang bertungkus-lumus bagi memastikan Malaysia berada dalam keadaan selesa seperti sekarang.
“Di Malaysia, kita masih mengambil mudah sebenarnya. Kita masih merasakan Malaysia ini seolah-olah tidak berdepan dengan krisis. Itulah kedudukan di Malaysia, tetapi sebenarnya ramai pihak bekerja untuk memastikan kita masih berada dalam keadaan selesa ini.
“Apabila mengurangkan penggunaan tenaga, kita dapat memanjangkan tempoh bekalan tenaga kita dan akhirnya kita akan dapat keterjaminan dan tidak akan terkesan dengan krisis yang berlaku,” katanya.
Tambahnya, kerajaan juga akan melindungi rakyat daripada tekanan kos hidup yang melampau dan memperkukuh daya tahan ekonomi negara untuk tempoh jangka panjang.
“Pelbagai langkah termasuk bantuan bersasar, kawalan harga, pengukuhan keselamatan tenaga serta kerjasama strategik antara kerajaan, industri dan rakyat sedang dan terus dilaksanakan. Apa yang penting, krisis ini perlu dengan semangat kebersamaan,” katanya.
*FOTO : FACEBOOK FADILLAH YUSOF