Muafakat Nasional: Bercerai-berai bukan masalah Kerajaan Perpaduan
2 JAN: Di sebalik ura-ura usaha menghidupkan kembali kerjasama melalui Muafakat Nasional (MN) dalam kalangan PAS dan UMNO, Perdana Menteri menegaskan Kerajaan Perpaduan masih utuh.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata setakat ini tiada maklumat diterima berkait MN dan ia masih belum serius.
Beliau yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) menekankan kerukunan rakan gabungan dalam PH masih utuh.
“Itu (MN) belum serius saya belum dapat maklumat lagi. Itu keputusan masing-masing.
“Tapi yang penting sekarang, Kerajaan Perpaduan masih utuh dan semua telah memberikan ikrar mereka untuk menumpukan perhatian dalam pertumbuhan ekonomi, pembelaan nasib rakyat sehingga pilihan raya akan datang,” katanya selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Jumhuriah, Petaling Jaya, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas soal usaha menghidupkan kembali MN yang dulunya dibina melibatkan rakan dalam kerajaan hari ini, UMNO.
Ketika diminta mengulas soal keuntungan untuk kerajaan susulan ketegangan hubungan dalam kalangan gabungan parti pembangkang, Presiden PKR itu menyifatkan apa yang berlaku bukan masalah pihaknya.
“Soal orang ada idaman dan igauan, soal dia bercerai-berai itu bukanlah masalah saya.
“Itu masalah mereka. Kita tidak campur. Itu masalah PAS dengan Bersatu. Bercerai-berai bukan masalah Kerajaan Perpaduan,” katanya.
