13 OKT : Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin mengesahkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Azman yang juga Pengerusi PKR Wilayah Persekutuan mengesahkan perkara itu, hari ini.
“Ya, saya akan bertanding di PRN Melaka di DUN Paya Rumput,” katanya, lapor Malaysiakini.
Azman yang juga Ketua Cabang PKR Bandar Tun Razak sebelum ini disebut-sebut sebagai antara calon yang bakal diketengahkan parti itu pada PRN kali ini.
Pada PRN Melaka 2021, PH mempertaruhkan bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin di kerusi itu yang kemudiannya tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Rais Yasin dengan majoriti 629 undi dalam pertandingan lima penjuru.
Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh pada 4 Oktober lalu memaklumkan BN akan memberi laluan kepada parti rakan di Paya Rumput selepas persefahaman pilihan raya dimuktamadkan.
Ab Rauf yang juga Ketua Menteri Melaka berkata, Rais akan beralih ke DUN Sungai Udang untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
Pada PRN 2021, BN memenangi 21 daripada 28 kerusi DUN Melaka, sekali gus membentuk kerajaan negeri dengan majoriti dua pertiga sementara PH memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) menang dua kerusi, iaitu Sungai Udang dan Bemban.
PKR tewas di kesemua 11 kerusi yang ditandingi termasuk DUN Paya Rumput.
Dalam perkembangan berkaitan, program pengumuman calon dan pelancaran jentera PH bagi PRN Melaka yang dijadual berlangsung Ahad ini dilaporkan ditangguhkan ke 24 Oktober depan, menurut laporan Sinar Harian.
Timbul dakwaan di media sosial yang mengaitkan penangguhan itu susulan masalah dengan lokasi penganjuran program berkenaan.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada 31 Oktober, undi awal 10 November dan hari pengundian pada 14 November ini.