1 maut, 9 cedera letupan kompresor penyaman udara di universiti swasta
12 JAN : Seorang maut manakala sembilan lagi cedera dalam kejadian letupan kompresor penyaman udara di sebuah universiti swasta di Bukit Damansara pagi tadi.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus mengesahkan mangsa yang maut merupakan pekerja syarikat kontraktor penyaman udara.
Mangsa yang merupakan lelaki tempatan berusia 24 tahun meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Perkembangan terbaharu mendapati seorang lagi mangsa dikenal pasti menjadikan keseluruhan 10 individu terlibat berbanding sembilan yang dilaporkan sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, daripada keseluruhan mangsa, dua merupakan warga asing.
Selain mangsa yang maut, dua lagi pekerja syarikat kontraktor itu dilaporkan cedera parah dan lima warga tempatan yang turut cedera melibatkan tiga pelajar serta seorang juruteknik.
“Sementara itu, dua warga asing terlibat ialah lelaki Indonesia yang bekerja sebagai pekerja kafeteria dan mengalami kecederaan ringan,” katanya.
Tambahnya, kesemua mangsa sedang menerima rawatan di beberapa hospital.
Terdahulu, polis menerima panggilan kecemasan pada jam 11.40 pagi susulan insiden letupan di kawasan penyelenggaraan bersebelahan kafeteria di tingkat empat bangunan universiti swasta itu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur, Hassan ‘As’ari Omar dilaporkan berkata pemeriksaan awal letupan itu didapati berpunca daripada kebocoran gas penyaman udara.
*Foto: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kuala Lumpur