12 JAN : Barisan Nasional (BN) yakin mampu untuk mempertahan Parlimen Kinabatangan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag pada Pilihan Raya Kecil (PRK) yang dijadual tidak lama lagi.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata persiapan kempen untuk kedua-dua calon BN dilihat berjalan dengan baik selain mendapat sokongan parti Kerajaan Negeri Sabah pimpinan Ketua Menteri Sabah yang juga Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Hajiji Noor.
“Saya melihat dari segi persiapan berjalan dengan baik dan kerjasama yang ditunjukkan hasil daripada pembentukan kerajaan ini telah pun membina satu persefahaman yang baik.
“Beliau (Hajiji) memberikan komitmen besar untuk memastikan kerusi ini dapat terus dipegang oleh calon BN yang bertanding di Parlimen dan juga DUN,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melawat tapak projek asrama baharu Politeknik Sandakan, hari ini.
Menurut Zambry yang juga Menteri Pendidikan Tinggi, BN akan meneruskan legasi pembangunan desa dan pendidikan di Kinabatangan yang ditinggalkan bekas Pengerusi BN Sabah, Allahyarham Datuk Seri Bung Moktar Radin.
PRK Kinabatangan dan Lamag yang membuka tirai pada Sabtu menyaksikan BN dan Parti Warisan bertembung di kedua-dua kerusi.
Calon BN di Kinabatangan, Mohd Kurniawan Naim Moktar yang juga anak penyandang kerusi itu berdepan calon Parti Warisan, Datuk Saddi Abdul Rahman serta calon Bebas, Goldam Hamid.
Sementara satu lawan satu di Lamag yang menyaksikan calon BN, Mohd Ismail Ayob (Miha) menentang calon Parti Warisan, Mazliwati Abdul Malek Chua.
*Foto : Facebook Zambry Abd. Kadir