KENYATAAN MEDIA
JABATAN PENDAFTARAN NEGARA
1. Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengambil maklum kenyataan media yang dikeluarkan berhubung kes seorang individu berusia 17 tahun (CJ) berkaitan permohonan pengeluaran MyKad.
2. JPN ingin menegaskan bahawa Jabatan ini menghormati sepenuhnya keputusan dan perintah Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bertarikh 8 Disember 2025 dan komited untuk melaksanakan perintah tersebut dalam tempoh 30 hari dari tarikh permohonan dibuat oleh CJ seperti yang diarahkan oleh mahkamah.
3. Walau bagaimanapun, JPN ingin menjelaskan bahawa kes ini turut melibatkan isu penipuan dokumen semasa permohonan sijil kelahiran dibuat oleh ibu individu terbabit pada tahun 2008. Penipuan dokumen tersebut melibatkan pengeluaran bukti kelahiran secara tidak sah oleh sebuah fasiliti perubata iaitu Taj Hospital, yang mana hospital tersebut telah pun disenaraihitamkan oleh JPN. Isu ini merupakan asas kepada ketidakselarasan dan penipuan dokumen yang direkodkan oleh JPN sebelum perkara status kewarganegaraan individu terbabit dibawa ke Mahkamah.
4. Sehubungan itu, tindakan pembetulan dan pengesahan dokumen perlu dilaksanakan terlebih dahulu selaras dengan peruntukan undang-undang dan prosedur pendaftaran yang berkuat kuasa sebelum sebarang pengeluaran dokumen pengenalan diri dapat dilakukan. Keputusan Mahkamah Tinggi adalah berkaitan penentuan status kewarganegaraan individu tersebut dan pelaksanaannya oleh JPN perlu dibuat mengikut kerangka perundangan sedia ada termasuk keperluan pendaftaran kad pengenalan bagi individu berusia melebihi 16 tahun yang tertakluk kepada proses pendaftaran lewat kad pengenalan.
5. Jabatan ini tidak boleh terus mencetak dan mengeluarkan MyKad tanpa melengkapkan proses pembetulan rekod dan pendaftaran yang diperlukan khususnya dalam kes yang melibatkan ketidakselarasan atau penipuan dokumen sebelum ini. Semua langkah yang diambil adalah bagi memastikan ketepatan, integriti rekod negara serta pematuhan kepada undang-undang.
6. JPN ingin memberi jaminan bahawa tiada keingkaran terhadap perintah Mahkamah berlaku dan semua tindakan sedang dilaksanakan secara teratur, berhemah serta selaras dengan undang-undang yang berkuat kuasa. CJ telah hadir ke kaunter Bahagian Kad Pengenalan (BKP) JPN Putrajaya pada 8 Januari 2026 bagi penyerahan perintah Mahkamah Tinggi tersebut. Sehubungan itu, JPN telah menyerahkan borang permohonan dan senarai semak pendaftaran lewat kad pengenalan untuk dilengkapkan oleh CJ sebagai sebahagian daripada proses pelaksanaan perintah Mahkamah. Namun demikian, sehingga 12 Januari 2026, JPN masih belum menerima borang permohonan daftar lewat kad pengenalan yang lengkap daripada CJ untuk tindakan lanjut.
7. Manakala keperluan saksi bagi dokumen permohonan daftar lewat kad pengenalan bukan terhad kepada wakil rakyat sahaja. Saksi yang disenarai oleh JPN boleh terdiri daripada Wakil Rakyat, Majikan, Ketua Kaum, Penghulu, Pegawai Kerajaan Kumpulan Pengurusan Dan Profesional.
8. JPN ingin menegaskan bahawa Jabatan ini sentiasa berpegang kepada prinsip kedaulatan undang-undang serta melaksanakan tanggungjawab pendaftaran dan dokumentasi negara secara profesional, telus dan berintegriti.
JABATAN PENDAFTARAN NEGARA