10 FEB : Jepun memulakan semula operasi loji tenaga nuklear terbesar dunia pada Isnin selepas ditangguh sebelum ini.
Syarikat Tenaga Elektrik Tokyo (TEPCO) berkata loji Kashiwazaki-Kariwa di wilayah Niigata itu kembali diaktifkan pada jam 2 petang waktu tempatan (0500 GMT).
Cubaan awal untuk menghidupkan semula loji itu pada Januari lalu dihentikan selepas sistem amaran mengesan perubahan kecil arus elektrik pada satu kabel, walaupun bacaan tersebut masih dalam paras selamat.
TEPCO memaklumkan tetapan sistem amaran sudah diselaraskan semula dan reaktor itu kini disahkan selamat untuk beroperasi.
Loji itu tidak beroperasi sejak Jepun menutup semua kemudahan nuklear selepas gempa bumi dan tsunami 2011 yang mencetuskan kemalangan nuklear di Fukushima.
Namun, kerajaan Jepun kini kembali kepada tenaga nuklear bagi mengurangkan kebergantungan kepada bahan api fosil, mencapai sasaran neutral karbon menjelang 2050 dan menampung peningkatan permintaan tenaga, termasuk daripada sektor kecerdasan buatan (AI).