14 NOV : Sebanyak 37 laporan polis berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 diterima sejak hari penamaan calon pada 31 Oktober lalu hingga semalam dengan 28 kertas siasatan dibuka.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kebanyakan kes yang dilapor melibatkan khianat.
Menurutnya, 25 kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya, manakala tiga lagi masih dalam siasatan.
“Setakat ini jumlah laporan polis yang kita terima sebanyak 37. Kertas siasatan yang dibuka sebanyak 28 dan yang kita sudah hantar kepada Timbalan Pendakwa Raya sebanyak 25 dan tiga lagi masih dalam siasatan.
“Kebanyakan khianatlah. Kita buka mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kelancaran proses pengundian di Sekolah Kebangsaan Bendahara Seri Maharaja, Jalan Kandang, hari ini.
Mengulas persiapan keselamatan selepas pengundian, Dzulkhairi berkata, lebih 1,000 anggota polis akan terus ditempatkan sehingga minggu depan bagi memastikan keadaan kekal terkawal ketika keputusan PRN diumumkan dan sepanjang tempoh pascapilihan raya.
Katanya, kawalan turut dipertingkatkan di beberapa lokasi yang dikenal pasti sebagai kawasan tumpuan termasuk Seri Bendahara, Seri Negeri dan Istana.
“Kita kekalkan 1,000 lebih anggota untuk pasca pilihan raya ini sehinggalah ke minggu depan. Kita tetap dengan kita punya persediaanlah walaupun pilihan raya telah habis kita telah buat persediaan untuk elakkan perkara-perkara yang tidak dijangkalah.
“Kita memang ada beberapa kawasan hotspot terutamanya macam Seri Bendahara, Seri Negeri, Istana. Itu adalah kawasan-kawasan hotspot yang kita akan kawal,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan penyokong parti supaya tidak keterlaluan ketika meraikan keputusan pilihan raya sehingga mengganggu ketenteraman awam atau mencetuskan provokasi.
Beliau berkata, keterujaan menyambut kemenangan tidak seharusnya dijadikan alasan untuk melakukan tindakan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat.
“Kita faham walaupun pilihan raya ini lima tahun sekali, orang memang teruja untuk meraikannya. Tetapi janganlah disebabkan keterujaan itu kita menyusahkan orang lain.
“Saya mohon mana-mana parti yang hendak meraikan kemenangan malam ini supaya lebih berhemah, bertoleransi dan saling menghormati. Jangan timbulkan provokasi atau cuba mengadu domba sehingga mencetuskan kekecohan,” katanya.
