PKR sasar jadikan Kedah kubu kuat
13 FEB : PKR perlu menumpu usaha untuk menjadikan Kedah kubu kuat parti itu menjelang pilihan raya akan datang.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata langkah itu perlu selepas PKR berjaya menawan beberapa kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) pada pilihan raya lalu.
Justeru itu, Anwar yang juga Perdana Menteri berkata parti dan cabang PKR di negeri itu perlu diperkukuh bagi tujuan tersebut.
“Kedah adalah negeri yang sudah menunjukkan keupayaan dan potensi yang baik. Kawasan negeri dan Parlimen yang pernah kita tawan dengan berjaya perlu dipertahankan, terutama di selatan Kedah.
“Negeri ini adalah contoh terbaik ‘based’ PKR pada peringkat awal dan mudah-mudahan dengan semangat yang ditunjukkan kita dapat bina dan boleh menjana kekuatan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen KEADILAN Kedah, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar berkata PKR kini berada pada tahap terbaik dan usaha memperkukuh parti perlu diteruskan termasuk memberi latihan untuk ahli baru.
“Bagi ahli lama pula, pimpinan khas akan memastikan mereka diberi panduan bagi memperkukuh organisasi parti.
“Yang penting parti kita menang dan perjuangan reformasi yang dibawa sejak awal perlu diteruskan.
“Kita melalui banyak cabaran, kini semua keperluan tersedia untuk melaksanakan kerja parti dengan lebih efektif,” katanya.
