13 FEB : Lembaga Disiplin Bersatu hari ini memecat 16 lagi ahlinya selepas pemecatan terhadap Timbalan Presidennya, Datuk Seri Hamzah Zainudin.
Pengerusi Lembaga Disiplin parti, Datuk Mohd Radzi Manan memaklumkan keputusan itu kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yasin melalui satu notis makluman bertarikh hari ini.
Keputusan itu selaras peruntukan Fasal 22.5 Perlembagaan Bersatu.
“Mana-mana ahli Bersatu yang didapati bersalah melanggar disiplin parti dan dijatuhi hukuman, berhak untuk mengemukakan rayuan kepada Lembaga Rayuan untuk pertimbangan dalam tempoh 14 hari dari tarikh surat ini,” menurut notis itu.
Selain Hamzah, tiga lagi Ahli Parlimen turut dipecat iaitu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad (Machang), Azahari Hasan (Padang Rengas) dan Fathul Huzir Ayob (Gerik).
Sementara dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dipecat ialah Datuk Zainol Fadzi Paharudin (Sungai Manik) yang juga Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu dan Mohd Yadzil Yaakub (Bemban).
Selain itu, sembilan Ketua Bahagian Bersatu dipecat iaitu Mohd Hassuandi Hamzah (Larut), Yunus Nurdin (Libaran), Datuk Abdul Aziz Ismail (Dungun), Ahmad Nasir Mid (Selayang), Ahmad Ishak (Gopeng), Kamaruddin Majid (Teluk Intan), Datuk Zulkifli Bujang (Johor Bahru) Ahmad Meon (Tangga Batu) dan Mhod Yunus Yusop (Tapah).
Turut dipecat Ketua Srikandi Muda Bersatu Sabah, Nabila Norshahar dan Ketua Penerangan Bersatu Hulu Langat, Mohamad Shafiq Abdul Halim.