23 FEB : Sebanyak 273 isu baharu didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 1/2026 yang dibentangkan di Dewan Rakyat, hari ini.
Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd Radzi berkata laporan itu sudah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim.
Menurutnya, LKAN itu terdiri daripada 15 naskhah iaitu satu naskhah Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2024, satu naskhah aktiviti kementerian/jabatan/badan-badan berkanun Persekutuan dan pengurusan syarikat kerajaan Persekutuan serta 13 naskhah aktiviti kementerian/jabatan/agensi negeri juga pengurusan syarikat kerajaan negeri.
“Sebanyak 273 isu baharu dalam laporan LKAN boleh diakses melalui papan pemuka dalam talian Ketua Audit Negara (AGD) di talian https://agdashboard.audit.gov.my.
“Perkara ini bagi memastikan pemantauan dan susulan audit dilaksanakan secara berterusan terhadap tindakan penambahbaikan yang diambil kementerian/jabatan/agensi/syarikat Persekutuan dan negeri.
“AGD memainkan peranan yang penting dan memberikan impak besar dalam memperkukuh pengurusan wang awam serta meningkatkan keberkesanan tindakan susulan audit. Bagi tempoh 2024 hingga Disember 2025, pelaksanaan sistem ini telah menyumbang kepada pemulihan hasil dan bayaran balik kerajaan berjumlah RM316.68 juta.
“Daripada jumlah itu, sebanyak RM221.52 juta merupakan kutipan daripada agensi Persekutuan merangkumi tuntutan penalti, tunggakan sewa, pajakan tanah serta kutipan duti dan cukai,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, Wan Suraya berkata 143 daripada 145 Penyata Kewangan Agensi Persekutuan 2024 sudah dikemukakan untuk pengesahannya dan selesai pensijilan setakat 9 Januari lalu.
“128 diberi menerima Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Tanpa Teguran manakala 15 penyata diberi Sijil Ketua Audit Negara dengan Pendapat Diubah Suai iaitu Pendapat Berteguran seperti di https://agdashboard.audit.gov.my/agdPKAP2024.pdf.
“Fokus Utama Audit (KAA) bagi LKAN kali ini berkaitan satu isu ketakteraturan serius dalam kutipan hasil yuran dan perbelanjaan di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
“Perkara ini berlaku apabila perjanjian kerjasama yang dibuat tidak mendapat kelulusan Menteri Kewangan selaras Perlembagaan UKM dan tiada kuasa sah yang diperuntukkan bagi tujuan mengutip yuran pelajar berkenaan.
“Selain itu, terdapat perbelanjaan yang tidak teratur dan tidak mematuhi prosedur kewangan ditetapkan,” katanya.
Menurutnya, isu ketakteraturan serius itu sudah dibawa ke Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Ketakteraturan Serius Bil 1 Tahun 2026 pada 6 Februari lepas.
“Tindakan ini selaras dengan peluasan kuasa Ketua Audit Negara melalui subseksyen 9(4) Akta Audit 1957 [Akta 62] yang membolehkan saya membuat syor bagi untuk menangani apa-apa ketakteraturan serius yang sudah berlaku dalam pengakaunan atau penjagaan wang awam atau simpanan awam di bawag pengauditannya,” katanya.
