Kerajaan pandang serius peningkatan hilang kerja
26 MEI : Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) sudah membincangkan isu kehilangan pekerjaan yang dilapor menunjukkan peningkatan sejak April lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan akan bertindak segera dalam menyediakan peluang pekerjaan alternatif khususnya kepada golongan muda yang terjejas.
Tegasnya, meski keadaan itu masih belum pada tahap membimbangkan namun kerajaan memandang serius perkara berkenaan.
“Setiap kehilangan pekerjaan bagi seorang dalam keluarga itu tentunya merunsingkan, jadi kita cuba menanganinya dengan sebaik mungkin,” katanya.
Beliau berkata demikian menyerahkan lembu korban bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti, hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan kini sedang menyelaras peluang pekerjaan baharu menerusi kemasukan pelaburan di beberapa negeri.
Beliau juga menjangka satu pendekatan baharu bakal diumumkan dalam tempoh terdekat bagi memulihkan keadaan.
“Sekarang ada peluang pekerjaan baharu dan kita harus salurkan supaya ada sinergi antara pelaburan baru yang masuk terutama di Perak, Pulau Pinang, Kulim High Tech, Selangor, Negeri Sembilan, Johor dan Sarawak.
“Jadi dalam satu atau dua minggu ini akan ada satu cara lain untuk memulihkan dan menyediakan beberapa peluang pekerjaan baharu, terutama bagi anak-anak muda,” katanya.
Terdahulu, Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mengesahkan kehilangan pekerjaan di negara ini meningkat sebanyak 21 peratus pada April kepada 7,057 kes berbanding 5,855 kes pada Mac.
Anwar menambah, kerajaan menumpu kepada sektor teknologi maklumat (IT) dan kecerdasan buatan (AI) sesuai dengan kehendak pasaran semasa.
“Jadi kalau ada keperluan, kita berikan latihan khas untuk membolehkan anak-anak ini masuk ke jurusan bidang pekerjaan baharu,” katanya.