25 FEB : Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan (BBC) menzahirkan rasa kecewa terhadap tindakan 10 ahli Parlimen kerajaan yang memberi kata dua dalam pengundian rang undang-undang (RUU) pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
Pengerusinya, Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, berkata wakil rakyat PKR diketuai Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli itu sepatutnya menyertai perbincangan dan perbahasan di Dewan Rakyat terlebih dahulu sebelum membuat kenyataan.
“Saya kecewa dengan tindakan mereka walaupun saya faham dengan kebimbangan mereka.
“Ramai lagi ahli Parlimen yang mempunyai pandangan masing-masing yang saya kira seharusnya dibawa ke Dewan Rakyat untuk dibincang dan dibahaskan dengan lebih teratur.
“Sementelah itu telah pun ada sesi taklimat oleh Kementerian (Jabatan Perdana Menteri) Undang-Undang dan Reformasi Institusi pada 23 Februari baru-baru ini, dengan sebahagian perkara telah pun dijawab oleh Menteri (Datuk Seri Azalina Othman Said) dan Peguam Negara (Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar) sendiri,” katanya lapor BH, hari ini.
Semalam, 10 Ahli Parlimen PKR itu pada sidang media di Parlimen memberi kata dua sama ada menolak atau mengambil pendirian berkecuali ketika proses pengundian RUU tersebut sekiranya empat syor penambahbaikan dicadangkan ditolak kerajaan.
Sembilan lagi ahli Parlimen tersebut adalah Wong Chen (Subang), Rodziah Ismail (Ampang), Nik Nazmi Nik Ahmad (Setiawangsa), Lee Chean Chung (Petaling Jaya), S Kesavan (Sungai Siput), Zahir Hassan (Wangsa Maju), Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (Balik Pulau), Onn Abu Bakar (Batu Pahat) dan Hassan Karim (Pasir Gudang).
Dalam pada itu, Zaliha berkata kerajaan perlu memandang serius kesemua pandangan ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang.
“Apapun saya kira jemaah menteri harus mengambil serius tentang semua pandangan ahli-ahli Parlimen, sama ada dari pihak kerajaan mahupun pembangkang terutama pandangan yang dilontarkan ketika perbahasan di Dewan Rakyat pada 3 Mac kelak.
“Begitu juga di Dewan Negara sebelum mengambil tindakan tuntas berkenaan isu ini,” katanya.