25 FEB : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) diarah bertindak segera susulan kandungan seorang lelaki memijak al-Quran yang dimuat naik di media sosial.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil berkata pihak MCMC akan menyelaras tindakan dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam kes tersebut.
Katanya, ini bagi memastikan tindakan yang menyeluruh dan tanpa kompromi diambil berdasarkan undang-undang sedia ada.
“Perbuatan tersebut disifatkan sebagai tindakan biadab, menghina agama Islam serta mencabar sensitiviti dan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
“Kerajaan menegaskan bahawa sebarang perlakuan yang menyentuh sensitiviti agama serta mengancam ketenteraman awam tidak boleh diterima sama sekali dan akan dikenakan tindakan tegas,” katanya.
Perbuatan tersebut sebelum ini tular di media sosial selepas lelaki itu didakwa memuat naik gambar memijak al-Quran sehingga mencetuskan kemarahan dalam kalangan umat Islam.
Individu yang didakwa sebagai pelajar Universiti Malaysia Pahang Al‑Sultan Abdullah (UMPSA) kemudiannya tampil memohon maaf atas tindakannya memuat naik gambar tersebut.
Terdahulu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman mengesahkan penahanan itu dan pelajar berkenaan direman empat hari.