27 FEB : Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menjadi mangsa ‘deepfake’ melalui video yang dimuat naik di platform TikTok.
Agensi itu dalam satu kenyataan menegaskan akaun TikTok yang menyebarkan video tersebut bukan miilik Mohd Shuhaily.
“AKPS mengesahkan video yang tular serta akaun media sosial di platform TikTok bernama @Haily Only Official adalah palsu dan bukan milik Ketua Pengarah AKPS.
“Video tersebut dipercayai telah dimanipulasi menggunakan teknologi deepfake sehingga mengelirukan orang ramai dan menimbulkan persepsi seolah-dah ia adalah kenyataan rasmi daripada beliau,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, AKPS turut mengesan terdapat beberapa akaun media sosial lain yang tidak dimiliki atau diiktiraf oleh Ketua Pengarah AKPS, namun menggunakan nama, wajah dan video-video beliau bagi tujuan meraih publisiti serta keuntungan peribadi.
Sehubungan itu, AKPS menegaskan tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu atau pihak yang didapati menggunakan nama, imej dan identiti Ketua Pengarah AKPS pada akaun media sosial yang tidak sah.
“Tindakan undang-undang akan diambil tanpa sebarang kompromi.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah terpedaya dengan kandungan palsu serta sentiasa merujuk kepada saluran rasmi AKPS untuk mendapatkan maklumat yang sahih dan tepat,” menurut AKPS.
*FOTO UTAMA: FACEBOOK AKPS
