27 FEB : Tiga jurulatih Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan menyebabkan kematian pelatih, Syamsul Haris Shamsudin, tahun lalu.
Pengakuan itu dibuat di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Kota Tinggi, Hayda Faridzal Abu Hasan sebaik pertuduhan dibacakan, hari ini.
Mejar Mohd Azmi Abu Bakar, 40, Kapten Muhammad Bahauddin Ab Rasid, 30 dan Mohd Norbuangani Mislan, 41 didakwa secara bersama melakukan perbuatan dengan niat mendatangkan kecederaan yang boleh bawa maut terhadap Allahyarham Syamsul Haris, 22.
Kesalahan didakwa dilakukan di Lapang Sasar Ulu Tiram Utara antara jam 2 hingga 3 petang, 28 Julai tahun lalu.
Pendakwaan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan mereka boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 30 tahun serta denda.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 setiap seorang dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa diserahkan kepada mahkamah.
Sebutan semula kes ditetapkan 13 April depan.
Allahyarham Syamsul Haris, 22 dilaporkan meninggal dunia pada 28 Julai lalu di Hospital Kota Tinggi ketika menjalani latihan di Lapang Sasar Imunisasi Tempur, Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) di Ulu Tiram, Johor.
Jasadnya kemudian dikebumikan keesokan harinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Riching Ulu di Selangor.
Namun, ibu Allahyarham, Ummu Haiman Bee Daulatgun, 45 menuntut siasatan semula terhadap kes kematian anaknya yang didakwa memiliki pelbagai kesan kecederaan pada jenazah.
Ummu mendakwa tanda pada dada arwah ketika ditemui di unit forensik seolah-olah kesan dipukul atau dicucuk menggunakan objek selain pendarahan teruk pada hidung.
Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 26 Ogos kemudiannya memerintahkan kubur Allahyarham digali semula dan bagi membolehkan bedah siasat kedua dilaksanakan.
Disember tahun lalu, Jabatan Peguam Negara mengklasifikasikan kematian Allahyarham sebagai kes bunuh selepas menerima taklimat hasil laporan siasatan yang dibuka Polis DiRaja Malaysia (PDRM).