29 MEI : Polis sudah memulakan siasatan berkait video tular yang mendakwa Menteri Besar Perlis, Abu Bakar Hamzah menembak seekor lembu korban.
Ketua Polis Daerah Kangar, ACP Yusharifuddin Mohd Yusop berkata pihaknya masih belum menerima sebarang laporan rasmi berkait insiden itu.
“Polis dah terima (penularan video) tetapi setakat ini belum menerima sebarang laporan polis berhubung kejadian. Bagaimanapun, siasatan awal sedang dijalankan.
“Sama ada peluru yang digunakan peluru hidup atau bukan kita masih dalam siasatan,” katanya, lapor Sinar Harian.
Mengulas lanjut, beliau berkata polis akan memanggil pemimpin berkenaan untuk dirakam keterangan.
Menurutnya, perkembangan terkini akan dimaklumkan kemudian.
Terdahulu, tular video berdurasi 38 saat yang menunjukkan Abu Bakar menembak seekor lembu dipercayai untuk ibadah korban.
Abu Bakar ketika menjelaskan kepada media mempertahankan tindakannya itu demi keselamatan orang awam dan mendakwa lembu korban itu mengamuk hingga terlepas daripada ikatan.
Beliau turut menepis dakwaan yang tersebar di media sosial kononnya lembu itu dikorbankan dengan tembakan.
“Saya bukan tembak suka-suka. Lembu itu mengamuk. Kalau dibiarkan dan ia tanduk orang sampai mati, siapa hendak jawab?
“Bila ia terlepas, kita tidak boleh buat apa lagi. Jadi saya ambil senapang dan tembak pada kaki…selepas ia jatuh, barulah kita sembelih,” katanya.