28 FEB : Protokol keselamatan di semua pintu masuk negara termasuk di sempadan Bukti Kayu Hitam akan diperketat.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tindakan itu susulan insiden kenderaan Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) ditembak awal pagi Rabu lalu.
Menurutnya, insiden itu menunjukkan bahawa aspek keselamatan di sempadan tidak boleh dipandang ringan.
“Langkah pertama ialah menyemak semula undang-undang dan peraturan sedia ada termasuk akta berkaitan AKPS bagi memastikan ia mencukupi untuk menangani ancaman semasa.
“Sekiranya terdapat kelompongan, pindaan dan penambahbaikan akan dipertimbangkan supaya penguatkuasaan lebih berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, hari ini.
Menurut Saifuddin, pihaknya juga akan meneliti kembali prosedur operasi standard (SOP) pemeriksaan, penahanan dan pelepasan di kesemua pintu masuk negara.
“Dalam aspek operasi pula, kita lihat keperluan perkongsian maklumat secara menyeluruh antara polis, tentera, imigresen dan kastam tanpa lagi bekerja secara berasingan atau ‘silo’.
“Setiap agensi juga ada watch list (senarai pantau) masing-masing dan AKPS satu agensi baharu, jadi integrasi data adalah satu kemestian bagi membolehkan tindakan lebih pantas dan tepat diambil,” katanya.
Saifuddin berkata, beliau sudah mengarahkan Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain agar meningkatkan kawalan keselamatan terhadap pegawai-pegawai yang disyaki menjadi sasaran.
“Kita semua faham, peristiwa seperti ini memberi kesan. Ia bukan perkara kecil. Namun saya tegaskan, kita tidak akan sesekali berundur atau berkompromi dengan mana-mana ancaman terhadap keselamatan negara dan pegawai kita,” katanya.
Terdahulu, polis mengesahkan kenderaan dinaiki Senior Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir ditembak dengan dua das tembakan dalam kejadian jam 5.40 pagi ketika dalam perjalanan ke Masjid Muhajirin.
Menurut polis, kereta pegawai itu ditembak dua suspek menaiki motosikal pada bahagian pintu belakang sebelah kanan dan pintu hadapan sebelah kiri.
Kurang 24 jam daripada kejadian itu, Saifuddin memaklumkan kepada Dewan Rakyat suspek kes tembakan tersebut sudah ditahan dan siasatan sedang dijalankan.
