2 MAC : Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengambil tindakan terhadap penularan semula satu video lama bertarikh 2024 melibatkan insiden di Singapura oleh seorang warganya yang memaparkan kandungan berunsur penghinaan terhadap agama Islam termasuk perbuatan memijak al-Quran.
Menurut suruhanjaya itu, pihaknya menerima aduan daripada orang awam berhubung kandungan berkenaan yang dipercayai dimuat naik semula sehingga mencetuskan kegusaran serta ketegangan dalam kalangan masyarakat.
“Berdasarkan siasatan awal, dipercayai individu yang terlibat merupakan seorang warga Singapura dan insiden tersebut juga dipercayai berlaku di Singapura.
“Sehubungan itu, MCMC sedang bekerjasama dengan pihak platform media sosial terlibat, khususnya Threads, Facebook dan TikTok bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil termasuk menyekat penyebaran serta akses terhadap kandungan berkenaan di Malaysia,” menurut MCMC dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, MCMC menegaskan bahawa sebarang penyebaran kandungan yang menyentuh sensitiviti agama serta berpotensi menggugat keharmonian masyarakat majmuk negara ini merupakan satu perbuatan tidak bertanggungjawab dan boleh dikenakan tindakan undang-undang selaras dengan peruntukan yang berkuat kuasa.
Justeru itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak memuat naik, berkongsi atau menyebarkan semula kandungan tersebut.
Sebarang maklumat berkaitan boleh disalurkan kepada MCMC melalui pautan https://aduan.mcmc.gov.my/#/public/main atau kepada Polis Diraja Malaysia untuk tindakan lanjut.