KENYATAAN MEDIA
BAHAGIAN HAL EHWAL UNDANG-UNDANG JABATAN PERDANA MENTERI
Dewan Rakyat pada 3 Mac 2026 telah meluluskan usul untuk merujuk Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 kepada sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas di bawah Peraturan 54(2) dan 81(1) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat bagi meneliti RUU tersebut secara lebih terperinci termasuk mekanisme akauntabiliti Pendakwa Raya, sebelum mengemukakan syor kepada Dewan Rakyat.
Jawatankuasa ini merupakan jawatankuasa Parlimen yang ditubuhkan melalui keputusan Dewan Rakyat dan berfungsi di bawah kuasa serta tertakluk kepada Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat.
Pengerusi jawatankuasa mempengerusikan perjalanan mesyuarat, manakala segala dapatan dan syor diputuskan secara kolektif oleh ahli-ahli jawatankuasa yang terdiri daripada ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang sebelum dikemukakan semula kepada Dewan Rakyat.
Pendekatan ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam amalan Parlimen Malaysia. RUU pernah dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas yang dipengerusikan menteri melalui taranya penelitian pindaan Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah pada 20 Julai 2004 yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Mohd Radzi Sheikh Ahmad serta penelitian Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 berkaitan larangan ahli Parlimen bertukar parti pada 11 April 2022 yang dipengerusikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Pendekatan yang sama juga digunakan bagi RUU Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan pada 2 Ogos 2022 oleh Menteri Kesihatan ketika itu, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.
Kerajaan pada masa yang sama kekal tertakluk kepada prinsip akauntabiliti Parlimen sebagaimana yang diperuntukkan di bawah Perkara 43(3) Perlembagaan Persekutuan iaitu jemaah menteri bertanggungjawab secara kolektif kepada Parlimen.
Oleh itu, proses penelitian melalui Jawatankuasa Pilihan Khas ini merupakan sebahagian daripada mekanisme semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen.
Cadangan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya juga telah melalui proses kajian empirikal sebagai asas serta perbincangan inklusif yang melibatkan ahli Parlimen merentasi parti, termasuk Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, Yang Berhormat Selayang, bersama ahli Parlimen lain daripada kerajaan dan pembangkang seperti Yang Berhormat Jelutong, Kota Melaka, Besut dan Pendang, serta Yang Berhormat Senator Rita Sarimah Patrick Insol selaku Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang-Undang.
Selain itu, Jabatan Peguam Negara bersama Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri telah membentangkan agenda reformasi institusi ini kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi pada 26 Februari 2026 serta kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Semakan Undang- Undang pada 2 Mac 2026.
Langkah ini mencerminkan pendekatan Kerajaan MADANI yang bertanggungjawab untuk memastikan reformasi institusi yang dicadangkan ini diteliti secara mendalam, inklusif dan berasaskan prinsip kedaulatan undang-undang.
Melalui mekanisme ini, pelbagai pihak berkepentingan termasuk ahli-ahli Parlimen, pakar perundangan, ahli akademik dan masyarakat sivil juga dijangka akan dijemput untuk memberikan pandangan bagi memperkukuh Rang Undang- Undang tersebut.
Kerajaan MADANI kekal komited melaksanakan reformasi institusi secara berperingkat dan berprinsip berteraskan Perlembagaan demi memperkukuh kedaulatan undang-undang serta keyakinan rakyat terhadap institusi negara.
BAHAGIAN HAL EHWAL UNDANG-UNDANG JABATAN PERDANA MENTERI