KENYATAAN MEDIA
BAHAGIAN PENGUATKUASAAN DAN KAWALAN
KEMENTERIAN DALAM NEGERI
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail telah hadir di Program Penerapan Nilai-Nilai Murni dan Sambutan Nuzul Al-Quran Peringkat Negeri Kedah 2026 di anjuran Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK), Kementerian Dalam Negeri (KDN), hari ini.
2. Bersempena sambutan Nuzul Al-Quran, 1447H/2026 ini, Kementerian Dalam Negeri (KDN) memaklumkan bahawa sebanyak 1,050 perakuan pruf akhir melibatkan mushaf bercetak, bahan digital dan audio telah diluluskan bagi memastikan hanya teks al-Quran yang sah dan diperakui berada dalam pasaran negara ini. Dalam tempoh sama, tindakan penguatkuasaan di bawah Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986 (APTQ 1986) sepanjang tahun 2025 turut merekodkan nilai RM1,983,151.00, melibatkan pemeriksaan 12,048 premis, sitaan 56,946 unit teks dan bahan al-Quran, serta pembukaan 302 kertas siasatan.
3. Menurut Datuk Seri Saifuddin Nasution, pencapaian ini merupakan hasil pelaksanaan fungsi teras Bahagian Penguatkuasaan dan Kawalan (PK), KDN yang bertanggungjawab memastikan kesucian, kesahihan dan ketulenan teks al-Quran di Malaysia sentiasa terpelihara melalui kawal selia terhadap penerbitan, pencetakan, pengimportan, penjualan dan pengedaran mushaf serta bahan al-Quran di bawah peruntukan APTQ 1986.
4. Usaha pengawalseliaan ini turut diperkukuh melalui pelaksanaan pelekat hologram keselamatan yang diwajibkan sejak tahun 2010, bagi memastikan setiap mushaf yang diedarkan di pasaran telah melalui proses pengesahan yang sah.
5. Melalui Ops Mulia, nilai penguatkuasaan yang direkodkan pada tahun 2025 ialah sebanyak RM957,762.10. Bagi tempoh 26 Januari hingga 8 Februari 2026, sebanyak 1,758 premis telah diperiksa dengan nilai penguatkuasaan RM378,171.92, melibatkan sitaan 6,620 unit teks dan bahan al-Quran serta pembukaan 44 kertas siasatan.
6. Selain penguatkuasaan, KDN turut memberi perhatian kepada aspek pemuliaan mushaf al-Quran yang rosak. Pada 15 Februari 2026, hampir 3.5 tan teks dan bahan al-Quran yang rosak akibat banjir di Perlis telah dimuliakan mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan kesucian ayat-ayat suci al-Quran terus terpelihara.
7. Program Jom Exchange Al-Quran (JEQ) yang dilancarkan pada tahun 2023 turut mencatat pelaksanaan 723 program di seluruh negara, melibatkan pertukaran 75,614 naskhah al-Quran yang rosak, usang atau tidak mempunyai perakuan kepada mushaf baharu yang diperakui KDN. Susulan kejayaan tersebut, Bahagian PK turut menerima pengiktirafan “The Largest Quran Exchange” daripada Malaysian Book of Records.
8. Beliau turut menegaskan bahawa usaha memelihara kesucian dan ketulenan teks al-Quran akan terus diperkukuh melalui penguatkuasaan berterusan selaras dengan peruntukan Akta Pencetakan Teks Al-Qur’an 1986.
BAHAGIAN PENGUATKUASAAN DAN KAWALAN
KEMENTERIAN DALAM NEGERI