7 MAC : Usaha membawa pulang rakyat Malaysia terkandas di wilayah Asia Barat yang bergolak sedang giat dijalankan.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata rakyat terkandas melibatkan mereka yang bekerja dan pelancong.
Namun katanya, setakat ini keutamaan diberikan kepada rakyat Malaysia yang benar-benar terkandas dan menghadapi kesukaran termasuk kehabisan wang untuk menampung kos penginapan serta makanan.
“Bagi mereka yang terkandas, kerajaan sedang mengatur program untuk membawa mereka pulang kerana ada yang sudah kehabisan wang untuk bayar hotel dan keperluan harian,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Majis Penyampaian Sumbangan Zakat dan Pek Makanan di Surau Darul Ikhlas, TM Sarawak Hub, hari ini.
Ketegangan di Asia Barat memuncak selepas Israel dibantu Amerika Syarikat (AS) melancarkan serangan ke atas Iran yang menyebabkan kematian Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei.
Dalam pada itu, Fadillah berkata usaha itu diselaras Kementerian Luar yang menjalankan rundingan dengan beberapa syarikat penerbangan termasuk Malaysia Airlines, AirAsia dan Batik Air untuk membawa pulang rakyat yang terjejas.
Menurutnya, bagi lokasi yang tiada laluan penerbangan, rakyat terjejas akan dibawa keluar ke negara lain terlebih dahulu melalui jalan darat susulan banyak negara yang menutup ruang udara masing-masing susulan konflik itu.
“Ketika ini antara negara yang masih mempunyai ruang untuk urusan membawa pulang rakyat Malaysia ialah Arab Saudi dan Oman.
“Namun keadaan keselamatan di rantau berkenaan masih tidak menentu dan konflik dijangka tidak dapat diselesaikan dalam tempoh singkat,” katanya.
Katanya, Fadillah berkata data menunjukkan hampir 3,000 pelancong dan lebih 20,000 lagi bekerja atau bermastautin di negara-negara Asia Barat.
*FOTO : FACEBOOK FADILLAH YUSOF