12 MAC : Kumpulan penggodam Handala yang dikaitkan dengan Iran didakwa melancarkan serangan siber terhadap syarikat peralatan perubatan Amerika Syarikat (AS), Stryker.
Tindakan itu dipercayai susulan serangan ketenteraan AS dan Israel ke atas Iran yang berlaku sejak 28 Februari lalu.
Handala mendakwa ia sebagai tindakan balas terhadap serangan peluru berpandu yang mengorbankan lebih 170 mangsa termasuk murid di sebuah sekolah di Minab, Iran.
Menurut Handala, lebih 200,000 sistem, peranti dan pelayan Stryker dipadam serta mengekstrak 50 terabait data kritikal.
Sementara itu, Stryker mengesahkan berlaku gangguan rangkaian global namun tiada bukti penggunaan perisian tebusan atau perisian hasad dalam serangan itu.
Stryker juga menegaskan insiden itu dalam kawalan dan proses pemulihan sedang berjalan bagi memastikan sistem kembali secepat mungkin.
Difahamkan, gangguan itu menyebabkan pekerja di pelbagai negara tidak dapat mengakses peranti kerja mereka di mana sebahagian sistem memaparkan logo Handala pada skrin log masuk.
Serangan berkenaan dilihat antara yang paling signifikan setakat ini dikaitkan dengan konflik Iran-AS.