Konflik Asia Barat : Malaysia tegas desak henti keganasan
17 MAC : Malaysia tegas berpendirian untuk mendesak agar keganasan di Asia Barat dihentikan dan menghidupkan kembali saluran diplomasi.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia tidak boleh bungkam dan membiarkan ketidakadilan terus berlaku.
“Dalam suasana dunia yang terus berantakan akibat konflik dan perseteruan geopolitik, kita tidak boleh membiarkan ketidakadilan dan kezaliman mengheret kita untuk bungkam.
“Malaysia mengambil pendirian yang jelas dan berprinsip yakni mendesak dihentikan segera keganasan, meredakan ketegangan serta menghidupkan kembali saluran diplomasi yang berpaksi pada undang-undang antarabangsa dan penghormatan terhadap maruah manusia,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menghadiri Forum Ilmuwan Malaysia MADANI, pada Isnin.
Menurut Anwar, perang yang melanda Asia Barat hari ini yang dicetuskan rejim ganas Israel dan didukung bala tentera Amerika Syarikat (AS) tidak lagi berlegar sekitar perihal angka korban serta kemusnahan infrastruktur semata.
Malah katanya, ia mencerminkan kecenderungan yang berbahaya untuk menunduk atau mendominasi ruang wilayah serta pengaruh tanpa menghiraukan aspek kemanusiaan.
“Mangsa paling besar tentunya wanita, kanak-kanak dan masyarakat yang dipaksa hidup dalam ketakutan, kehilangan dan trauma yang berpanjangan.
“Maka, dalam kerangka inilah Forum Ilmuwan Malaysia MADANI pada hari ini (semalam) menjadi wahana penting untuk menilai secara adil cabaran geopolitik yang merundung dunia,” katanya.
Mengulas tentang program tersebut, Anwar berbesar hati menyambut kehadiran Presiden Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Prof Dr Jeffrey D. Sachs.
“Saya juga berbesar hati tatkala menyambut kehadiran Profesor Jeffrey Sachs sebagai pembicara undangan, seorang ilmuwan dan juga sahabat yang telah sekian lama menekuni persoalan pembangunan, kemiskinan dan tatanan dunia.
“Mudah-mudahan wacana ilmiah seperti ini akan terus menyemarak ruang pemikiran yang berani, adil dan berprinsip dalam usaha dan upaya kita mempertahankan ‘reason’ dan martabat kemanusiaan sejagat,” katanya.
