18 MAC : Iran dilaporkan mula membenarkan beberapa kapal komersial melalui Selat Hormuz.
Namun jumlah trafik di laluan penting itu masih menurun lebih 95 peratus sejak konflik dicetus Amerika Syarikat dan Israel.
Windward, firma risikan maritim melaporkan lapan kapal dikesan merentasi selat itu pada Isnin menunjukkan sedikit kelonggaran mula berlaku.
Al Jazeera melaporkan kapal negara yang mesra dengan Tehran seperti China, India dan Pakistan dilihat melencong ke perairan Iran yang menunjukkan kemungkinan wujud laluan khas mengikut kebenaran tertentu.
Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi menegaskan laluan yang mengendalikan kira-kira satu perlima bekalan minyak dunia itu masih dibuka namun tertutup kepada musuh.
Kenyataan itu hadir selepas ancaman keras Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) yang memberi amaran akan menyerang mana-mana kapal cuba menceroboh.
Situasi ini secara tidak langsung mencetuskan sekatan tidak rasmi di selat berkenaan yang melonjakkan harga minyak mentah global melepasi AS$100 setong, naik lebih 40 peratus sejak konflik bermula pada 28 Februari.
*FOTO : WIKIPEDIA