24 MAC : Malaysia kekal berpendirian bahawa segala pertikaian mesti ditangani melalui jalan damai.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan perkara itu kepada dua pemimpin negara Teluk, hari ini melalui panggilan telefon.
Beliau berkesempatan mengadakan perbualan telefon dengan Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa serta Presiden Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.
Menurut Anwar, beliau dan pemimpin itu turut menyentuh soal perkembangan semasa di Asia Barat.
“Kami saling bertukar ucapan Aidilfitri, sambil mendoakan kesejahteraan, keamanan dan kemakmuran buat seluruh rakyat di kedua-dua negara.
“Perbualan turut menjurus kepada perkembangan semasa di Asia Barat yang kian meruncing,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam kenyataan di Facebook, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar menzahirkan keprihatinan mendalam terhadap ketegangan yang berlarutan serta implikasinya kepada keselamatan serantau dan kesejahteraan rakyat.
Beliau turut menyampaikan takziah atas kehilangan nyawa serta kerosakan harta benda akibat daripada serangan balas yang berlaku.
“Dialog, diplomasi dan kerjasama erat antara negara adalah satu-satunya jalan ke hadapan bagi meredakan ketegangan dan mengembalikan kestabilan, selaras dengan tuntutan kemanusiaan dan prinsip keadilan sejagat,” katanya.