27 MAC : Beban subsidi bahan api negara dijangka meningkat mendadak sehingga mencecah sekitar RM4 bilion sebulan susulan lonjakan harga minyak mentah global yang kini melepasi paras AS$100 setong.
Kementerian Kewangan (MoF) dalam satu kenyataan berkata beban subsidi terus meningkat berbanding anggaran RM3 bilion sebulan ketika harga minyak mentah Brent sekitar AS$90 setong.
Menurut kementerian itu, situasi berkenaan didorong ketidaktentuan bekalan global akibat konflik berlarutan di Asia Barat yang memberi tekanan kepada pasaran tenaga dunia.
Sehubungan itu, kerajaan melaksanakan beberapa pelarasan bersasar di bawah program BUDI MADANI, termasuk menurunkan had kelayakan subsidi RON95 daripada 300 liter kepada 200 liter sebulan bermula April 2026.
Menurut kementerian itu, kerajaan turut mengekalkan harga RON95 di bawah program BUDI95 pada RM1.99 seliter, manakala harga diesel bagi kumpulan sasar kekal RM2.15 seliter.
“Kerajaan MADANI telah mengambil langkah awal dan bersasar bagi memastikan bekalan bahan api negara terus terjamin demi kesejahteraan rakyat tatkala ketidaktentuan bekalan global berikutan konflik di Asia Barat.
“Langkah proaktif ini digerakkan secara terancang bagi mengurus tekanan bekalan semasa tanpa menjejaskan majoriti pengguna, di samping memastikan bekalan bahan api kekal mencukupi untuk tempoh yang lebih panjang.
“Meskipun bekalan bahan api negara ketika ini masih berada pada tahap terkawal, kerajaan tidak boleh mengambil pendekatan tunggu dan lihat dalam usaha memperkukuh jaminan bekalan serta mengurus permintaan secara berhemah,” menurut MoF.
Katanya, pelarasan tersebut mengambil kira hampir 90% rakyat yang layak menggunakan kurang daripada 200 liter sebulan dan tidak akan terjejas oleh perubahan had siling kelayakan BUDI95 itu, dengan purata penggunaan sebulan sekitar 100 liter.
Sementara itu, had siling kelayakan tambahan bagi operator e-hailing akan terus dikekalkan pada 800 liter sebulan.
Pada masa yang sama, MoF berkata kerajaan akan memperkukuh penguatkuasaan bagi membanteras penyelewengan dan ketirisan subsidi, di samping menggalakkan penggunaan bahan api secara lebih berhemah.
“MoF juga tidak akan teragak-agak untuk menyekat kelayakan BUDI95 jika terdapat penyalahgunaan atau penyelewengan RON95 bersubsidi.
“Kerajaan akan terus memantau perkembangan global secara rapi serta mengambil langkah tambahan bagi memastikan bekalan tenaga negara kekal stabil serta mencukupi untuk rakyat,” katanya.