28 SEPT : Semua bekas Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Negeri Sembilan yang pelantikannya ditarik balik Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dilapor menerima arahan untuk memulangkan kenderaan rasmi masing-masing.
Bekas EXCO Perindustrian, Teknologi, Inovasi dan Digital, Datuk Mohd Asna Amin berkata surat daripada pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) berhubung arahan tersebut diterima, hari ini.
“Sejak perwartaan itu, saya tak guna kenderaan rasmi. Hari ini memang ada terima surat daripada SUK berhubung arahan memulangkan semula kenderaan rasmi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas memberi keterangan kepada pihak polis dari Bukit Aman di bangunan Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), hari ini.
Mohd Asna yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lenggeng berkata beliau akan mematuhi arahan berkenaan.
Menurutnya, setakat ini beliau masih tidak dapat memasuki pejabatnya di Wisma Negeri.
“Sebagai wakil rakyat, buat masa ini operasi kita di kawasan iaitu di pusat khidmat kawasan,” katanya.
Ketika ditanya soal pertemuan 25 ADUN Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) Negeri Sembilan di ibu pejabat UMNO malam semalam, Mohd Asna berkata perbincangan tertumpu kepada situasi politik negeri itu.
Beliau berkata pertemuan itu antara lain menyentuh usaha menyelesaikan kebuntuan yang berlaku, terutama mengambil kira Belanjawan Negeri 2027 yang dijadualkan dibentangkan Disember depan.
Pada 16 September, barisan Exco Negeri Sembilan memutuskan sebulat suara bahawa proklamasi penurunan takhta Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bertarikh 19 April 2026 adalah sah.
Namun pada 17 September 2026, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Sembilan mengeluarkan kenyataan bahawa pentadbiran negeri tidak akan mewartakan atau mengambil tindakan pelaksanaan terhadap proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan.
Tuanku Muhriz kemudiannya membatalkan pelantikan kesemua exco berkuat kuasa, serta-merta pada 20 September lalu namun Menteri Besarnya, Datuk Ismail Lasim menegaskan kesemua exco tersebut masih sah dan akan menjalankan tugas seperti biasa.
Terkini, pembatalan pelantikan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Negeri Sembilan diwartakan secara rasmi pada 24 September lalu.