27 MAC : Iran menjamin keselamatan maritim kapal-kapal dari negara bukan musuh yang melalui Selat Hormuz.
Malah Iran juga akan terlibat secara aktif dengan negara-negara sahabat bagi memudahkan laluan selamat mereka.
Kedutaan Iran di Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata Tehran mengakui kesan global yang lebih luas terhadap gangguan bekalan tenaga dan ketegangan keselamatan di selat itu susulan serangan Amerika Syarikat (AS)-Israel yang berterusan ke atas Iran sejak 28 Februari lalu.
Menurut kedutaan itu, negara-negara sudah mula merasai kesan kenaikan harga minyak dan gangguan rantaian bekalan khususnya di Asia Tenggara.
“Sebagai sebuah negara yang bertanggungjawab dan berdedikasi kepada prinsip Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Iran mengiktiraf kepentingan keselamatan maritim,” kata kedutaan itu.
Dalam pada itu, kedutaan tersebut menyifatkan perbualan telefon antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Iran, Masoud Pezeshkian sebagai sebahagian daripada penglibatan diplomatik bagi membincangkan usaha kolaboratif untuk meredakan krisis tenaga yang diburukkan lagi oleh konflik yang sedang berlaku.
“Dialog diplomatik sedemikian menekankan komitmen Iran untuk mengekalkan keamanan dan kestabilan dalam perdagangan maritim,” menurut kenyataan itu.
“Kami menegaskan bahawa kapal-kapal bukan musuh, terutamanya dari negara yang tidak menyokong pencerobohan tentera terhadap kami, boleh mengemudi perairan ini dengan selamat, tertakluk kepada pematuhan peraturan Iran dan penyelarasan dengan pihak berkuasa kami,” menurut kenyataan itu.
Selain itu, kedutaan itu berkata penilaian terbaharu menunjukkan AS mengalih objektif yang kini tertumpu kepada usaha mendapatkan akses Selat Hormuz di mana satu perlima daripada minyak dunia dan sebahagian besar gas asli cecair (LNG) melalui selat itu.
Setakat ini dilaporkan lebih 350 kapal sedang menunggu kebenaran Iran untuk merentasi Selat Hormuz.