23 SEPT : Risiko kebakaran hutan dan tanah di Indonesia dijangka meningkat susulan keadaan kering berterusan hingga awal Oktober.
Ia turut dipengaruhi fenomena El Nino yang sangat kuat, dengan jumlah hujan dijangka kekal rendah di kebanyakan kawasan sehingga awal bulan depan.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofizik (BMKG) memaklumkan keadaan atmosfera yang agak kering masih ketara khususnya di beberapa kawasan di Sumatera dan Kalimantan.
Menurut agensi itu, tumpuan titik panas yang tinggi turut dikesan dalam tempoh 10 hari lalu, selain laporan mengenai kebakaran hutan dan tanah di beberapa kawasan.
Setakat 21 September, Kalimantan Tengah merekodkan jumlah titik panas tertinggi dengan 5,283 titik panas, diikuti Sumatera Selatan sebanyak 1,485 dan Kalimantan Barat sebanyak 1,357.
Ratusan lagi titik panas turut dikesan di Kalimantan Selatan dan Kalimantan Timur.
“Apabila keadaan kering bertambah kuat, orang ramai dan kerajaan wilayah digesa supaya menjimatkan air dan meningkatkan kewaspadaan terhadap ancaman kemarau serta kebakaran hutan dan tanah,” menurut agensi itu.
Banyak kawasan dijangka hanya memasuki musim hujan pada November atau Disember.
BMKG memaklumkan sebahagian besar Indonesia dijangka mencapai kemuncak musim hujan antara Disember hingga Februari, dengan waktu kemuncak berbeza mengikut wilayah.
Sehubungan itu, agensi berkenaan menggesa pihak berkuasa menambah baik sistem saliran serta meningkatkan kesiapsiagaan pemindahan bagi menghadapi risiko banjir dan tanah runtuh ketika negara itu beralih daripada keadaan kering berpanjangan kepada peningkatan jumlah hujan.