Tuntut Sabah: Malaysia hantar nota diplomatik ke Filipina
28 MAC : Malaysia akan menghantar nota diplomatik kepada Filipina susulan desakan seorang senator negara itu yang menggesa tuntutan atas Sabah dihidupkan semula.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata perkara itu bukan sesuatu yang baharu yang dilihat sebagai cubaan mengalih perhatian.
“Ini bukan perkara baharu. Setiap kali berlaku isu dalam negara mereka, akan ada pihak yang cuba mengalih perhatian dengan membangkitkan perkara seperti ini.
“Jadi kita (Wisma Putra) akan menghantar nota diplomatik terhadap apa yang dinyatakan seperti mana kebiasaannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Aidilfitri di Rantau, hari ini.
Terdahulu, Senator Filipina, Robin Padilla dilaporkan menggesa Presidennya, Ferdinand Marcos Jr. untuk menghidupkan semula tuntutan terhadap Sabah.
Mengulas lanjut, Mohamad berkata tindakan itu dilihat sebagai cubaan ahli politik negara itu untuk menjuarai isu tertentu di tengah-tengah isu dalaman yang meruncing di Filipina.
“Saya percaya rakyat Filipina sendiri pun dah faham. Namun, ada segelintir ahli politik yang cuba menjuarai isu tertentu bagi mengalih perhatian rakyat daripada masalah sebenar.
“Setiap kali kenyataan yang mereka buat, kita akan menghantar nota diplomatik kepada kerajaan Filipina bahawa Sabah adalah sebahagian daripada Persekutuan Malaysia,” katanya.
Tegasnya, Sabah memilih menyertai Malaysia melalui proses Suruhanjaya Cobbold diperakukan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Justeru itu katanya, tuntutan oleh mana-mana pihak terhadap Sabah tidak sepatutnya berlaku.
“Kalau mereka terus nak bercakap soal Sabah, terpulanglah. Tapi kita menolak apa yang dinyatakan kerana tuntutan mereka itu suatu yang tidak berasas,” katanya.
Meski berulang kali dibangkitkan perkara sama, namun Mohamad berkata ia tidak menjejaskan hubungan dua hala.
“Saya yakin setelah banyak tuntutan dibuat, ia tidak pernah mengeruhkan hubungan baik antara Malaysia dan Filipina, tambahan pula Filipina merupakan Pengerusi ASEAN tahun ini,” katanya.
*Foto : Facebook Dato’ Seri Utama Haji Mohamad Bin Haji Hasan